Institusi kewangan mampu hadapi kejutan makroekonomi, kata Bank Negara

Nisbah kecukupan modal menurun sedikit antara Mac dan April 2018, sebahagian besarnya disebabkan pembayaran dividen oleh bank-bank dan instrumen modal yang matang.

BNM berkata pertumbuhan indeks pengeluaran industri keseluruhan mampan pada 3.1% pada Mac.
KUALA LUMPUR: Institusi kewangan berada pada kedudukan baik untuk menghadapi apa-apa kejutan makroekonomi dan kewangan dengan lebihan penampan modal sebanyak RM138.2 bilion pada April 2018, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Nisbah kecukupan modal menurun sedikit antara Mac dan April 2018, sebahagian besarnya disebabkan pembayaran dividen oleh bank-bank dan instrumen modal yang matang, kata BNM dalam kenyataan sorotan bulanan April 2018 yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat berkata inflasi keseluruhan berada pada 1.4% pada April berbanding 1.3% pada bulan sebelumnya.
“Kategori pengangkutan mencatatkan inflasi lebih tinggi iaitu sebanyak 0.4% (Mac: -1.5%). Meskipun harga bahan api dalam negeri pada amnya stabil berbanding harga pada Mac, kenaikan tahunan lebih besar berbanding bulan sebelumnya.
“Kesan inflasi pengangkutan yang lebih tinggi sebahagiannya diimbangi inflasi makanan yang terus menurun kepada 2.6 peratus berikutan harga sayur-sayuran dan ikan dan makanan laut yang lebih rendah (Mac: 2.8 peratus),” kata bank pusat.
BNM berkata pertumbuhan indeks pengeluaran industri keseluruhan mampan pada 3.1% pada Mac (Februari: 3.0%), dalam keadaan output perlombongan dan elektrik yang meningkat meskipun pengeluaran output perkilangan menjadi sederhana.
Pada April, pasaran kewangan domestik terus teratur meskipun terdapat aliran keluar portfolio bukan pemastautin. Aliran keluar ini berpunca daripada sentimen pelabur yang berhati-hati berikutan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan keputusan pilihan raya umum ke-14.
“Kesannya, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.6% berbanding dolar AS dan kadar hasil MGS 5 tahun meningkat sebanyak 24.5 mata asas. Bagaimanapun, FBM KLCI meningkat 0.4% kepada 1870.4 mata, disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dan ketegangan geopolitik dunia yang semakin mereda,” kata BNM.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar