MALAPETAKA KEDUA MENANTI UMNO?
Tiada
apa-apa yang menarik dengan keputusan pemilihan UMNO kali ini.
Kemenangan Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan sebagai Presiden dan Timbalan
Presiden UMNO tidaklah mengejutkan, malah sudah pun dijangka.
Begitu
juga bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi, semuanya
tidak menarik dan memberi gambaran UMNO masih sama seperti sebelumnya.
UMNO,
meskipun nasibnya sudah berubah daripada kerajaan kepada pembangkang,
tetapi sikap, pemikiran dan keputusan perwakilan dalam memilih pemimpin
sama sekali tidak berubah.
Gambaran
pemilihan kali ini ialah UMNO telah menolak perubahan dan masih kekal
dengan stail lama dalam memilih pemimpin di mana politik wang dan
"sistem cai" masih lagi menjadi amalan.
Dengan
"sistem cai" yang bersamanya dikatakan turut diselitkan pemberian wang
tunai, "sampah sarap" dan "kayu" pun akan turut terpilih sebagai
pemimpin jika mereka termasuk dalam senarai tersebut.
Itulah yang terus berlaku dalam UMNO - dulu, kini dan selamanya sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
Zahid
Hamidi yang dipilih memimpin UMNO bukan saja berwatak lemah dan banyak
masalah, malah beliau adalah "kroni kanan" kepada Najib Razak yang
sudah ditolak rakyat, malah kedudukannya sebagai pemangku presiden
sebelum ini adalah kelebihan baginya untuk meraih kemenangan melalui
peranan "warlords" di pelbagai peringkat.
Meskipun
UMNO memilihnya sebagai peneraju yang baru, tetapi adakah rakyat di
luar UMNO, pengundi atas pagar, anak muda dan pengundi bukan Melayu
dapat menerima dan lebih meyakininya?
Siapakah yang dapat meyakini Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri untuk pilihanraya akan datang?
Bahkan,
kedudukan Zahid Hamidi yang mungkin disiasat oleh pihak berkuasa, sama
ada berkaitan wang haram yang diterima oleh UMNO sehingga akaun banknya
dibekukan, tentang dana RM2,600 juta yang diterima Najib lantaran beliau
mengaku pernah berjumpa dengan waris keluarga penderma, berkaitan
urusan kemasukan pendatang Bangladesh atau lain-lain perkara yang belum
kita ketahui, keadaan ini sekaligus meletakkan UMNO selepas ini dalam
kedudukan yang bahaya sekali lagi.
Apakah,
selepas Najib terpaksa mengundurkan diri kerana kalah pilihanraya dan
terlibat dalam skandal kewangan terbesar melibatkan dirinya, UMNO harus
menerima satu lagi "malapetaka" disebabkan seorang lagi presidennya
turut disiasat dan terpaksa mengundurkan diri?
Jika
pun tidak disiasat, mampukah UMNO berdepan dengan pelbagai isu yang
melibatkan Zahid Hamidi jika ianya dijadikan isu berterusan oleh Pakatan
Harapan?
Yang
tidak kurang malangnya bagi UMNO, meskipun keputusan rasmi belum
dikeluarkan lagi, ialah juga mengenai barisan kepimpinan yang dipilih
sebagai Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Semua
mereka yang terpilih adalah kalangan yang kuat menyokong, membodek dan
mengampu Najib sebelum ini, walaupun ketika itu skandal berkaitan bekas
Perdana Menteri itu, isterinya dan keluarganya sudah pun menjadi bahan
berita serta bualan di seluruh dunia.
Apakah
yang mereka ini mampu tawarkan untuk memulihkan imej UMNO jika
kesalahan Najib yang terang lagi nyata pun mereka sanggup terus
menyokongnya?
Kebimbangan
lain ialah jika sebelum ini mereka sanggup mempertahan perkara yang
tidak betul dan bersekongkol dengan salah laku Najib, apakah tidak
mungkin sikap itu akan berterusan ada dalam diri mereka sampai
bila-bila?
Selain
itu, bagaimana jika majoriti Ahli Majlis Tertinggi yang terpilih kali
ini turut terbukti pernah menerima wang haram 1MDB daripada Najib dan
merupakan sebahagian daripada 900 pemilik akaun bank yang sudah
dibekukan oleh SPRM?
Apakah nasib dan kedudukan mereka selepas ini?
Yang
nyata, oleh kerana UMNO telah menolak perubahan dengan memilih barisan
kepimpinannya yang lemah serta ada masalah untuk menerajui parti itu,
keputusan pemilihan kali ini juga adalah suatu "kegembiraan" buat Tun
Mahathir dan Pakatan Harapan.
Ulasan
Catat Ulasan