DAP pilih Wong Siew Ki sebagai calon Balakong


Susulan luahan ketidakpuasan hati yang kuat daripada akar umbi, DAP memutuskan untuk memilih Wong Siew Ki sebagai calon untuk pilihan raya kecil Balakong yang akan datang dan tidak meletakkan bekas wartawan penyiaran Astro AEC, Yunna Tan. Sumber parti itu memberitahu Malaysiakini kepimpinan DAP telah memaklumkan kepada Wong Siew Ki tentang pemilihannya pagi ini.
Pimpinan parti DAP akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan calon untuk PRK Balakong di ibu pejabat pada pukul 1 tengah hari esok.
Menurut sumber itu, lima anggota jawatankuasa pemilihan calon membuat keputusan itu pada mesyuarat CEC malam tadi.
Pemimpin parti terpaksa melepaskan idea meletakkan Yunna Tan kerana terdapat ketidakpuasan hati yang besar, kata sumber itu.
Wong Siew Ki, 32, yang merupakan Anggota Majlis Subang Jaya dan juga Pengerusi DAPSY Serdang, menyertai parti itu pada 2014.
Dokumentari Teoh Beng Hock
Beliau ialah seorang guru tuisyen selepas lulus daripada UPM dengan ijazah bahasa asing dengan pengkhususan dalam bahasa Cina.
Beliau aktif dalam gerakan pelajar sejak zaman kuliahnya, dan telah menghasilkan dokumentari "Jatuh" pada tahun 2012, yang memaparkan kejadian kematian Teoh Beng Hock yang berlaku pada tahun 2009.
Wong menjadi setiausaha politik untuk Ean Yong Hian Wah pada tahun 2013 dan kemudian beliau memutuskan untuk menyertai parti pada tahun berikutnya.
Sementara itu, MCA juga akan mengumumkan calon mereka esok.
Kedua-dua pihak akan mengumumkan calon mereka pada masa yang hampir sama dengan sidang akhbar MCA dijadualkan pada pukul 1.15 tengah hari manakala DAP akan mengumumkan calonnya pada pukul 1 tengah hari.
MCA memutuskan untuk menggunakan logo mereka sendiri dalam PRK Balakong yang akan datang. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong akan mengumumkan calon di ibu pejabat MCA esok.
Kerusi Balakong kosong selepas ADUN penyandang selama dua penggal, Eddie Ng meninggal dunia pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya. Hari penamaan jatuh pada 18 Ogos dan pengundian akan diadakan pada 8 September ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar

WKB2030: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030