Dr M musykil orang K'tan tak menyumbang kepada pembangunan negeri sendiri
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa musykilnya mengenai kemampuan
rakyat dari Kelantan yang boleh berjaya dalam pelbagai bidang terutama
perusahaan dan perniagaan di tempat lain, namun tidak dapat melakukannya
atau menyumbang kepada pembangunan negeri asal mereka.
Perdana Menteri berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana keadaan
itu berlaku dan menimbulkan persoalan sama ada ‘persekitaran’ di
Kelantan yang menyebabkan rakyatnya tidak dapat membangunkan negeri
mereka.“Sebenarnya orang Kelantan ini bijak-bijak belaka, kalau kita perhatikan di mana negeri pun yang ada perusahaan dan perniagaan adalah orang Kelantan, kenapa mereka tidak boleh buat perkara itu di Kelantan adalah soalnya.
“Pekerja-pekerja kita di Singapura juga ramai orang Kelantan yang tinggal di Johor, mereka cekap, mereka boleh, tetapi persekitaran barangkali tidak kena di Kelantan. Sama-samalah kita kaji persekitaran itu untuk tentukan kenapa ia jadi demikian,” kata perdana menteri dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada seorang peserta yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk Kelantan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan memberi manfaat besar kepada negeri itu.
Dr Mahathir berkata ramai rakyat Kelantan juga memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk salah seorang yang kini menjadi setiausahanya dan ia membuktikan kemampuan mereka.
Perdana menteri seterusnya mendedahkan bahawa tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, kerajaan Kelantan sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan negeri dan pentadbiran negeri itu.
Katanya pendapatan negeri itu termasuk menerusi kutipan cukai tidak mencukupi kerana ia disifatkan sebagai sebuah negeri yang miskin.
“Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan sesuatu maka mereka dapat membantu membangunkan Kelantan lebih pesat lagi berbanding tempat lain,” katanya.
Mengenai ECRL, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan projek tersebut buat masa ini dan menangguhkan sehingga mempunya dana yang mencukupi.
Terdahulu Dr Mahathir turut menyampaikan ucaptama pada majlis yang dihadiri beberapa menteri kabinet selain disertai 2,500 peserta dan delegasi.
Ulasan
Catat Ulasan