Lokman syak Hasanah disabotaj, tapi...

   
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mengesyaki bekas pegawai tertinggi badan perisikan kerajaan disabotaj orang bawahannya apabila ada surat ditulis kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi meminta bantuan AS untuk kerajaan BN.
Kata Datuk Lokman Noor Adam beliau "mendapat maklumat" kononnya Datuk Hasanah Abdul Hamid itu tidak bersalah, sebaliknya ada pihak lain sudah memperdayakannya.
"Saya (dapat) maklumat daripada belah dia (Hasanah) yang mengatakan bahawa orang bawah dia yang mainkan dia," katanya tanpa memberi penjelasan lanjut kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun calon BN yang kalah pada pilihan raya kecil Sungai Kandis di Selangor 4 Ogos lalu itu menegaskan, jika Hasanah memang menulis surat bagi meminta bantuan CIA, ia satu kesalahan yang berat.
Kata Lokman, pihak berkuasa wajar menyiasat bekas pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) itu n mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.
"Bagi saya kalau ketua perisik tulis surat kepada CIA itu adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
"Tapi kita harap pihak berkuasa siasat... kalau betullah memang dia sengaja menulis surat itu, kita kena ambil tindakan.
"Kita tak boleh bertoleransi dengan mana-mana pengkhianat negara," katanya.

Terdahulu Lokman hadir bersama Datuk Seri Najib Razak di majlis perkelahan dengan bekas perdana menteri itu di Taman Botani, Kuala Lumpur.
Turut memeriahkan sambutan isteri Najib, Rosmah Mansor.
Untuk rekod Hasanah yang sebelum ini pernah menjadi pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) ditahan pihak berkuasa pada Selasa lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kemudian diberi kebenaran oleh mahkamah untuk menahan reman Hasanah selama lima hari mulai 29 Ogos untuk membantu siasatan mengenai dana bernilai berjuta-juta dolar AS yang disyaki ada kaitan dengan 1MDB.
Lokman sebelum itu ditanya mengenai surat yang menampilkan tandatangan Hasanah kepada CIA untuk meminta AS memberi sokongan kepada Najib jika BN menang tipis dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Hasanah kemudian menjelaskan kepada media, surat tersebut tiada kena-mengena dengan Najib.
Lokman yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru berkata mana-mana pihak tidak boleh mengharap bantuan luar bagi mendapatkan kuasa.
Ditanya sama ada surat itu benar-benar bertujuan mengharapkan sokongan dari Rumah Putih untuk Najib terus menjadi perdana menteri, Lokman berkata: "Bullshit (mengarut)."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar