KEADAAN UMNO GENTING, TAPI TIADA SEMANGAT UNTUK MENANG

PRESIDEN Umno biasanya memberi inspirasi tetapi ucapan dasar dan penggulungan yang panjang lebar pada perhimpunan agung parti hujung minggu lalu tidak memberikan sebarang kesan mendalam selepas kekalahan pada 9 Mei lalu hingga mengubah status parti pemerintah kepada pembangkang.
Selepas dua jam ucapan dasar presiden, kira-kira 5,000 perwakilan di Dewan Merdeka atau mereka yang mengikuti prosiding itu menerusi Internet masih tidak tahu hala tuju presiden baharu berkenaan membawa parti lama yang gah untuk orang Melayu itu.
Bekas exco Johor, Md Jais Sarday memberi kesimpulan yang tepat untuk ucapan itu menerusi Twitter dengan berkata: “Enjin dah start, tapi tak tahu nak drive ke mana”.
“Ucapan sulung panjang berjela tanpa hala tuju yang jelas,” tambah Jais.
Sebaliknya, ucapan dasar Zahid yang pertama tentang menjenamakan semula Barisan Nasional (BN), kembali memegang kuasa dan mengekalkan ideologi teras Umno dalam mempertahankan kepentingan Melayu, kurang fokus dan butiran lanjut.
Beliau tidak menjelaskan apa ada dalam BN baharu. Beliau berkata penjenamaan semula akan hanya berlaku selepas rundingan dengan parti-parti komponen utama – MCA, MIC, MyPPP dan PBRS. Oleh itu, perwakilan dan pemerhati tidak tahu apa butiran lanjut gabungan itu.
Yang menariknya, sekutu politik paling lama Umno iaitu MCA menjauhi perhimpunan agung itu buat julung kalinya sejak mereka bekerjasama dalam pilihan raya pertama pada 1955, mendakwa ia mahu menumpukan kepada pemilihan parti. Yang pasti ialah PAS sudah mengambil alih tempat MCA di barisan hadapan di Dewan Merdeka.
Presiden berusia 65 tahun itu juga tidak memberi penjelasan tentang bagaimana rancangannya untuk mengembalikan kuasa Umno. Menjelang perhimpunan agung tahun ini, Zahid sibuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR, Bersatu dan PAS.
Berkenaan kerjasama dengan PAS, Zahid sekali lagi tidak memperincikan tentang kerjasama itu dan bagaimana ia akan menjejaskan parti komponen bukan Melayu dalam BN.
Hala tuju paling jelas ialah Zahid menetapkan Umno akan kekal sebagai parti Melayu. Ia jelas kerana BN menerima pecahan undi Melayu terbesar pada PRU14 iaitu 46.3%, PAS: 28% dan Pakatan Harapan: 25.5%. Pada 2013, BN dianggarkan menerima 60%.
Tetapi, pada masa sama, beliau tidak bercakap tentang bagaimana memperbaiki penerimaan pengundi Cina dan India terhadap BN yang jatuh kepada 2.4% dan 26% masing-masing. Apatah lagi, ketika beliau ada rancangan untuk bekerjasama dengan PAS.
Cadangannya untuk mengehadkan dua penggal untuk presiden parti juga pelik kerana pusingan pemilihan parti ialah tiga tahun sekali sementara pilihan raya negara, setiap lima tahun. Adakah presiden Umno dua penggal akan menjadi perdana menteri untuk enam tahun saja? Atau adakah ini petanda bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan 18 bulan lagi?
Mat Hasan
Berbeza dengan Zahid, ucapan timbalannya, Mohamad Hasan sehari sebelum itu lebih sesuai untuk parti yang baru saja mengalami kekalahan teruk kali pertama dalam tempoh 72 tahun.
Dalam ucapan pertamanya sebagai timbalan presiden, Mohamad menggesa muhasabah diri dan menawarkan galakan kepada perwakilan untuk memulakan jalan baharu untuk parti.
Walaupun Mohamad tidak mencadangkan sebarang dasar baharu, kerana ia kuasa presiden, kejujurannya berkenaan politik sokongan dan penurunan sokongan Melayu terhadap Umno, agak menyegarkan.
Ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (kanan) sehari sebelum itu lebih sesuai untuk parti yang baru saja mengalami kekalahan teruk kali pertama dalam tempoh 72 tahun, berbanding presiden Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2018.Tidak seperti Zahid, Mohamad tidak membelasah Pakatan Harapan tetapi lebih bimbang tentang jaringan dalaman Umno sendiri.
Antara yang lain patut dipuji ialah ucapan penggulungan Timbalan Ketua Pemuda Shahril Hamdan yang baru dilantik yang menggesa perwakilan mengelak jalan mudah untuk kembali memegang kuasa.
Perwakilan
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, perbahasan tahun ini dibuat secara tertutup di mana hanya ucapan terpilih saja disiarkan selepas sejam.
Mungkin, parti itu mahu menunjukkan perpaduannya di hadapan orang tetapi tindakan itu tidak memberi kesan baik kepada orang luar yang perlu ditarik perhatiannya.
Oleh itu, kebanyakan debat yang didengar tidak begitu menarik. Tidak ada perwakilan yang bertanya barisan pemimpin tentang apa mereka buat untuk menghentikan skandal 1MDB atau bagaimana mencegah salah laku pada masa depan.
Secara ringkasnya, tidak ada muhasabah diri daripada parti yang mahu kembali itu.
Walaupun, tidak seramai sebelum ini, penyokong tegar masih berkumpul di luar dewan bahas setiap hari untuk mendengar ucapan.
Peniaga masih membuka gerai dan perwakilan bebas bergaul. Dan apabila tiba malam, kafe di sekitar PWTC masih penuh dengan ahli Umno yang berbaju merah.
Untuk parti itu bangkit semula, ia memerlukan lebih daripada ucapan berapi-api yang dilemparkan ke arah lawannya.
Tetapi beberapa bulan selepas PRU14, Umno masih seperti itu – membelasah musuh politik mereka, bukannya membetulkan parti untuk masa depan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar