Skandal 1MDB: Justo tak terkejut kalau Jho Low dibunuh


Jho Low mungkin dibunuh pihak tertentu kerana ahli perniagaan kontroversi itu "tahu segala-galanya" dakwa bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.
Katanya Jho Low adalah orang yang mengetahui pelbagai maklumat berhubung skandal yang menggemparkan dunia itu, termasuk berkaitan syarikat PetroSaudi, Goldman­Sachs, IPIC dan 1MDB.
Dakwa Justo lagi, cara paling selamat untuk pihak yang terbabit dalam skandal berkenaan mengelak daripada dikenakan tindakan ialah menjadikan Jho Low itu "hilang selama-lamanya."
"Bagi ramai orang, penyelesaian terbaik ialah memastikan dia (Jho Low) hilang selama-lamanya.
"Saya tidak akan terkejut jika Jho Low tidak ditemui di mana-mana lagi, atau ditemui mati," katanya dalam temu bual dengan akhbar The Star yang disiarkan hari ini.
Menurut Justo dia tidaklah berharap kejadian seumpama itu berlaku malah mahu ahli perniagaan berkenaan - yang masih bersembunyi sehingga kini - dibawa ke mahkamah.
Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - dipercayai menjadi dalang di sebalik skandal 1MDB dan menjadi buruan pihak berkuasa pelbagai negara, termasuk Malaysia.
Keberadaan Jho Low diperlukan bagi membantu siasatan berhubung dana syarikat pelaburan milik kerajaan diilhamkan Datuk Seri Najib Razak itu.
Jabatan Kehakiman AS mendakwa Jho Low bertanggungjawab menyelewengkan lebih AS$4 bilion dana milik 1MDB.
Kata Justo ada kemungkinan Jho Low ketika ini masih hidup dalam keadaan serba mewah kerana dia dan rakan sekutunya memang gemar berbelanja besar.
Jika menginap di hotel, katanya, Jho Low akan menyewa bilik yang besar dan mahal.
"Dia tidak akan bersembunyi selama-lamanya di kampung nelayan di Kemboja.
"Saya pasti sekarang pun dia hidup mewah, berbelanja besar untuk membeli berbotol-botol wain dan berpesta," katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu