Hormati penjawat awam, jangan cederakan mereka - TPM
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penjawat awam perlu dihormati dan tidak seharusnya dicederakan ketika menjalankan tugas.
Timbalan perdana menteri berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak melindungi penjawat awam termasuk anggota pasukan keselamatan.
"Kita perlu melindungi penjawat awam kita dan sesiapa sahaja yang bekerja untuk orang ramai, termasuk anggota bomba,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perancangan Kebangsaan 2018 anjuran Pertubuhan Perancang Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kes Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang cedera parah dilaporkan akibat dipukul dalam kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika operasi memadam kebakaran kenderaan dekat kuil Hindu tersebut.
Anggota bomba itu kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.
Menyifatkan kes itu sebagai jenayah berat, Dr Wan Azizah berkata beliau, akan melawat Muhammad Adib di IJN esok.
Insiden kekecohan di kuil itu yang berlaku pada awal hari Isnin dan sekali lagi pada awal Selasa dikaitkan dengan isu perpindahan tapak kuil berkenaan ke lokasi baharu.
Ulasan
Catat Ulasan