ADA APA DI SEBALIK CUTI BERSAMA AZMIN DAN HISHAMMUDDIN?
Sebelum
ini, ketika tersebar gambar dan video Anwar Ibrahim berbual mesra dan
bergelak ketawa dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO di Parlimen, kecoh
seluruh negara membuat pelbagai spekulasi mengenainya.
Walhal,
kejadian itu hanyalah suatu kebetulan di mana memang menjadi kebiasaan
sesama Ahli Parlimen bergurau senda sesama mereka.
Namun,
oleh kerana ia melibatkan Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang baru
hilang kuasa, gurau senda dan gelak ketawa itu segera ditafsirkan ada
agenda yang tersembunyi untuk tujuan mempercepatkannya menjadi Perdana
Menteri.
Begitulah politik adanya....
Kemudian
Rafizi Ramli memuat-naik gambar pertemuannya dengan Khairy Jamaluddin
dan Nurul Izzah Anwar di sebuah restoran di ibu kota.
Berbeza
dengan gurau senda dan gelak ketawa Anwar dengan beberapa Ahli Parlimen
UMNO di Parlimen yang sebenarnya hanyalah kebetulan, pertemuan Rafizi,
KJ dan Nurul Izzah adalah sesuatu yang dirancang dan ada temujanjinya.
Pertemuan
itu segera digambarkan mereka dikatakan merancang menubuhkan parti
mewakili anak muda bagi menghadapi PRU15 akan datang, meskipun mereka
barangkali sekadar bertemu biasa, minum-minum dan berbual kosong saja.
Tetapi, begitulah politik adanya...
Semalam,
tersebar pula gambar dan video percutian bersama antara Azmin Ali dan
Hishammuddin Hussein serta keluarga masing-masing di Maghribi.
Dengan
kedudukan mereka yang berbeza parti, tetapi dikatakan sama-sama sedang
"dijaga" dan pro kepada Tun Mahathir Mohamad, percutian bersama itu
tidak dapat dielakkan menimbulkan macam-macam andaian serta spekulasi.
Sekali lagi, begitulah politik adanya...
Ada
yang mengandaikan, Azmin dan Hishammuddin sedang merancang sesuatu dan
berdasarkan pergolakan politik semasa, kedua-dua mereka dikatakan tidak
mustahil akan menyertai Bersatu selepas ini bagi "mencerahkan" kerjaya
politik masing-masing dan sekaligus bertujuan menyingkirkan Anwar
sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.
Lebih
memusykilkan, gambar dan video yang pada mulanya dimuatnaik oleh salah
seorang anak Azmin dalam Instagramnya, didapati dipadam tidak berapa
lama kemudiannya.
Kenapa dipadamkan?
Jika sekadar percutian keluarga dan tiada maksud yang lain, mengapa perlu dipadamkan?
Apakah
ia dipadamkan kerana Azmin dan Hishammuddin tidak menyangka percutian
mereka bersama itu akhirnya diketahui oleh rakyat umum serta penyokong
masing-masing dan ia telah menimbulkan kekeliruan lain yang tidak
dijangka?
Meskipun
tidak dinafikan Azmin dan Hishammuddin adalah kawan lama dan tinggal
pula berdekatan, tetapi percutian bersama itu sukar dinafikan
seolah-olah ia ada sesuatu yang dirancang dan bukan sekadar percutian
biasa.
Apakah
semua ini ada kaitan dengan keputusan Hishammuddin tidak bertanding
sebarang jawatan dalam pemilihan UMNO, Jun lalu dan selari dengan
tingkah laku Azmin yang kebelakangan ini semakin berani "melawan" Anwar,
"mentornya" sendiri?
Tetapi,
bukankah Tun Mahathir sekali lagi sudah mengulangi janjinya akan tetap
menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dan sebarang
perancangan atau komplot lain tidak mempunyai makna lagi?
Ulasan
Catat Ulasan