Bani Israel dan Malaysia 2019
Seperti memandu kereta; ada baiknya
jika kerap menjengah cermin pandang belakang, mana tahu ada kereta
lain yang ‘bagi lampu’ atau ada puntianak sedang menyeringai di
tempat duduk belakang.
Demikianlah pentingnya sekali sekala
untuk memeriksa keadaan, sambil bergerak maju ke depan, dan
mendapatkan teladan daripada masa silam yang sedang kita tinggalkan.
Antara kisah yang diulang sebut
berkali-kali dalam Al-Quran, adalah kisah Bani Israel. Kisah mereka
diceritakan secara ad nauseam. “Sampai naik loya” kalau
kita terjemahkan kata ad nauseam itu.
Bani Israel dikisahkan hidup dalam
pengabdian kepada firaun. Diperhamba untuk membangun binaan-binaan
yang sehingga kini masih tegak berdiri di padang pasir Kaherah.
Maka datanglah Musa untuk menyelamatkan
mereka ini, dan membawa amaran kepada si firaun yang mengaku dirinya
Tuhan.
Setidaknya itulah yang cuba digambarkan
filem Exodus: Gods and Kings, dibintangi Christian Bale
sebagai Moses dan diarahkan Ridley Scott.
Si Moses ini yang awalnya membesar di
istana firaun, akhirnya mengepalai revolusi Bani Israel, menuntut
pembebasan daripada belenggu perhambaan. Mereka meninggalkan Memphis,
ibu kota kerajaan firaun beramai-ramai, sehingga berhenti di tebing
Laut Merah.
Di adegan ini, ada dialog yang sangat
relevan dengan Malaysia pasca PRU14.
“But we all have the same goal.”
“We do now. What happens when we
stop running?”
Menyeberangi Laut Merah
Ketika Bani Israel meninggalkan kota
Mesir purba menuju Kan’an, mereka bergerak bersama-sama mengikut
arahan dan petua si Moses ini. Tiada lain yang mereka fikirkan selain
menjauh sejauh-jauhnya dari kehidupan diperhamba firaun. Maka tujuan
mereka satu: Asalkan bukan firaun.
Setelah selamat menyeberang Laut Merah,
dan firaun sudah jauh ditinggalkan; maka banyaklah songeh yang
muncul. Hatta diberi makan manna dan salwa dari syurga
pun, mereka minta diberi bawang, timun dan kacang.
“Dan
(kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak sabar
dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu
untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang
tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang
putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya.”
Demikian dirakam Al-Quran dalam surah
Al-Baqarah, ayat 61.
Jika difikirkan betul-betul, tidak jauh
beza sebenarnya dengan Malaysia setelah terlepas bebas daripada rejim
BN pada 9 Mei 2018.
Setelah sama-sama bergelut dan berjuang
untuk melepas bebas daripada bahaya Umno-BN, masing-masing mula
memperlihatkan songeh dan cengkadak yang bersangatan.
Masing-masing juga turut mula
memperlihatkan perangai yang aneh-aneh; termasuklah menunjukkan
belang perkauman yang selama ini disimpan rapi. Itu belum campur
spesis yang meski sudah bebas dari Umno, masih lagi terbawa-bawa
perangai parti melingkup itu. Tidak kurang juga yang “rindu zaman
Najib” meski melihat betapa panjang senarai pertuduhan terhadap
pemimpin pujaan hati mereka.
Tidak jauh beza dengan Bani Israel yang
diberi makan burung syurga, tetapi minta bawang dan timun.
Malaysia Baharu, Malaysia tanpa Umno
Sukar sebenarnya bagi kita untuk
mendepani hari-hari muka dengan berbekal kesedaran bahawa sisa
kehancuran Umno masih lagi diseret bersama memasuki era baharu
seperti tahi kucing yang melekat di tapak kasut.
Ia masih wujud meski dalam bentuk dan
bungkusan yang berbeza; seperti naib presiden BERSATU yang menyokong
sala hguna sumber kerajaan misalnya, serta mereka yang bertepuk
tangan menyambut cadangan itu.
Namun itu tidak bermakna bahawa susah
payah kita sebagai sebuah bangsa untuk membebaskan diri dari belenggu
hegemoni Umno hanyalah kerja sia-sia.
Seperti juga kisah Bani Israel,
bergelut menyeberangi Laut Merah hanyalah satu permulaan kepada
proses yang panjang.
Tanggal 9 Mei 2018 hanyalah satu
langkah pertama kepada proses panjang memulihkan ekonomi, politik dan
masyarakat Malaysia menuju sebuah negara yang lebih baik untuk semua;
tanpa mengira latar keturunan, pendapatan, pendidikan, budaya, cara
hidup, umur, orientasi seksual dan sebagainya.
Ya, memang ada banyak perkara yang
harus dilaksanakan, sama banyak dengan perkara yang kita mahu
laksanakan. Tetapi Malaysia Baharu harus jelas perbezaan antara
kehendak dan keperluan; kemudian menyusun awlawiyat kerjanya,
yang mana satu mesti didahulu dan diutamakan.
Kecelaruan dan kegagalan mengurus
perubahan akan akhirnya berkesudahan dengan kecuaian yang
menjahanamkan.
Dan di tengah-tengah kecuaian itu ada
golongan kecewa yang akan sanggup berbuat apa sahaja demi meraih
keuntungan atas kesilapan kita.
Melangkah masuk ke 2019, Malaysia
Baharu seharusnya sudah boleh belajar daripada kesilapan lampau dan
memastikan kesilapan tidak diulangi.
Seperti memandu kereta. Sambil bergerak
maju ke depan, ada baiknya menjeling cermin pandang belakang dan
mendapatkan teldan daripada masa silam yang sedang kita tinggalkan.
Selamat tahun baru 2019.
Ulasan
Catat Ulasan