Di ambang tahun baru, ahli PAS turun ke jalan bantah PH


Beberapa jam sebelum 2018 melabuhkan tirai, kira-kira 150 penyokong PAS turun ke jalan raya bagi menyuarakan bantahan terhadap apa yang menurut mereka peningkatan kos sara hidup di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Protes pembangkang di ambang tahun baru adalah perkara biasa sejak beberapa tahun lalu.
Antara protes terbesar sebelum ini adalah Himpunan Turun pada 31 Disember 2013 - juga berkenaan kos sara hidup - yang menarik ribuan hadirin.
Pada ambang tahun baru yang lalu pula, kira-kira 500 berarak dari Pusat Membeli-belah Sogo ke Dataran Merdeka bagi meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan BN.
Malam ini, di tengah-tengah hujan lebat, Pemuda PAS diketuai Muhammad Khalil Abdul Hadi meneruskan tradisi itu dan kali ini ia ditujukan kepada rakan lama mereka yang kini menjadi kerajaan persekutuan.
"Malam ini kita bersolidariti untuk rakyat yang terdiri daripada petani, peneroka, penjawat awam dan pekerja swasta.
"Setelah mengambil alih (kerajaan), kita menyaksikan satu demi satu pembohongan dan pengkhianatan terhadap rakyat. Adakah harga minyak sudah turun? Tidak. PTPTN tak dimansuhkan. GST dimansuh tapi ditukar dengan SST.
"PH telah membohongi rakyat...Pada 2019, tak tahu apa lagi yang akan PH bohong kepada rakyat," katanya ketika berucap di depan Sogo.
Bersama-samanya sekumpulan tujuh lelaki dengan gimik tangan diikat - menggambarkan rakyat yang ditekan.
Sebelum ucapan Khalil, beberapa wakil daripada PAS dilihat berucapa di hadapan kelompok kecil, sebahagian besarnya terdiri daripada anggota Unit Amal dan sayap wanita parti itu.
Kebanyakannya berteduh di bawah bumbung sepanjang pintu masuk pusat membeli-belah tersebut.
Mereka bersurai pada kira-kira pukul 10 malam selepas Khalil selesai menyampaikan ucapannya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar