ELAK BERPECAH, BERI ANWAR PELUANG TERAJU PKR, KATA AZIZAH
Beliau yang juga pengerusi majlis penasihat PKR berkata buat masa ini beliau mahu semua anggota PKR memberikan ruang kepada Anwar untuk mencorak kepimpinan parti itu setelah beliau dipilih sebagai presiden yang baharu pada pemilihan PKR lepas.
Katanya pelantikan beberapa jawatan utama dalam parti oleh Anwar itu adalah kerana beliau mahu mengukuhkan kesatuan antara anggota-anggota parti.
“Saya rasa beri peluang kepada presiden menerajui parti … kita telah pilih dia, seperti saya kata ini adalah presiden yang menjadi faktor perpaduan di kalangan anggota parti kita,” katanya.
Ditanya mengenai potensi Mohamed Azmin mencabar jawatan presiden PKR pada masa akan datang, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu banyak berlaku dalam mana-mana parti politik sekalipun.
Terdahulu beliau hadir memberikan sokongan kepada kempen Street Dakwah sempena sambutan Malam Tahun Baru 2019 di sekitar KLCC malam tadi.
Beliau meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra bersama 50 sukarelawan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mengangkat pelekat dan mengedarkan risalah yang membawa mesej-mesej keharmonian kepada orang ramai.
Kempen yang dimulakan sejak awal malam itu adalah salah satu usaha mendekati golongan muda dalam memberikan mesej kesedaran supaya tidak terlibat dengan masalah sosial seperti pergaulan bebas, seks dan pembuangan bayi selain memupuk kecintaan kepada nilai-nila murni.
Dr Wan Azizah berkata kempen itu adalah salah satu cara usaha pencegahan dengan memberikan kesedaran kepada golongan muda melalui program turun padang supaya tidak terjebak dengan masalah sosial.
“Kita tahu jiwa anak muda sentiasa mahu mencuba, mahu melakukan eksperimen yang boleh menyebabkan mereka terdedah dan terjebak dengan masalah sosial.
“Jadi kempen ini salah satu bentuk pencegahan melalui hebahan kepada orang ramai supaya mereka sedar tentang risiko itu dan mereka tahu bantuan yang boleh diterima sekiranya terlibat seperti menghubungi talian kasih 15999,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.
Ulasan
Catat Ulasan