Jangan pandang serong lantik orang politik dalam Yadim, kata ahli lembaga
Pelantikan ahli politik dalam Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) tidak seharusnya dipandang serong kerana yayasan berkenaan bukanlah ditubuhkan untuk mencari keuntungan, kata ahli lembaga Yadim.
Syed Ibrahim Syed Noh yang juga ahli Parlimen PKR berkata, kerjasama antara ahli politik, ahli akademik dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik dalam Yadim boleh merancakkan lagi kegiatan dakwah Islam.
“Ini bukannya tempat yang mana kita boleh longgok duit, ia lebih
kepada ‘servis’ dan kena korbankan masa bahkan tidak ada keuntungan dari
sudut kewangan.“Disebabkan itu tidak ada isu sekiranya bimbang berlaku salah guna kuasa sebab kita sendiri terbuka. Jika kata esok nak lakukan audit, saya bersedia pada bila-bila masa dan mengalu-alukannya,” katanya kepada FMT.Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan pelantikan barisan ahli lembaga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu yang hampir semuanya terdiri daripada ahli politik.
Mengikut senarai itu, seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85% daripada mereka adalah ahli politik Pakatan Harapan (PH), termasuk seorang daripada DAP.
Antara yang dilantik menerajui yayasan itu adalah Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz (calon PRU Amanah), Timbalan Yang Dipertua Yadim Zolkharnain Abidin (Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah).
Antara ahli lembaga Yadim pula melibatkan Syed Ibrahim selaku ahli Parlimen Ledang; Ahli Parlimen Merbok (PKR), Nor Azrina Surip; Ketua PPBM Bahagian Cheras, Samsu Adabi Mamat dan Adun Paloh Sheikh Omar Ali.
Bukan itu sahaja, Timbalan Penasihat Umum Amanah Abdul Ghani Samsudin, Maznah Daud (Wanita Amanah) dan Naib Pengerusi 2 Amanah Selangor, Shamsul Ma’arif Ismail.
Syed Ibrahim berkata, selepas dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yadim, beliau berperanan untuk mengetuai aktiviti dakwah di peringkat akar umbi dan bergerak ke kawasan luar bandar.
“Saya sendiri banyak gerak kerja di bawah, maksudnya gerakan macam mana hendak buat dakwah secara inovatif terutamanya terhadap masyarakat di kawasan luar bandar.
“Saya ada pengalaman kerana terlibat dalam NGO dan gerakan masyarakat, dahulu gerak kerja sebagai NGO namun jika boleh lakukan atas platform agensi kerajaan maka ia lebih baik,” katanya yang juga bekas naib presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).
Semalam, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan lantikan 12 ahli lembaga pemegang amanah Yadim dibuat berdasarkan merit dan kelayakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata dakwaan mengatakan ia adalah lantikan politik adalah tidak berasas kerana mereka dipilih selepas diteliti pengalaman dan kelayakan mereka untuk memimpin Yadim.
Ulasan
Catat Ulasan