Yadim komited jadikan Malaysia negara contoh patuh syariah
Yang Dipertua Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata yayasan itu juga akan berusaha memperkukuh hubungan dan interaksi dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk dijadikan sebagai rakan strategik bagi menjayakan visi dan misi Yadim, selain menyumbang kepada pembangunan ummah.
"Fokus utama Yadim kini sudah tentu adalah bidang dakwah selain pendidikan, kebajikan dan sosial, menerusi tiga wawasan Yadim iaitu mengubah pemikiran, nasihat menasihati dan operasi kehidupan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu merujuk kepada barisan Anggota Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim yang baharu dilantik, katanya pelantikan itu melambangkan ilmu, kekuatan dan pengalaman dari beberapa latar belakang yang berbeza.
"Ia merupakan gabungan dari professional yang pelbagai seperti agama, akademik, perundangan dan lain-lain lagi, dan diyakini mampu menjana idea serta memberi nasihat kepada pihak pengurusan Yadim.
"Kepelbagaian latar belakang dan pengalaman sedemikian sememangnya sesuai dengan agensi seperti Yadim dalam menggerakkan agendanya, iaitu meletakkan Islam di Malaysia di kedudukannya yang sebenar melalui medan dakwah yang penuh hikmah," katanya.
Nik Omar seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas persetujuan dan melengkapkan pelantikan 12 orang ALPA.
Ulasan
Catat Ulasan