PENYIASAT TUMPU KERETA, MOTOSIKAL MEWAH TAKIYUDDIN

SIASATAN ke atas Takiyuddin Hassan antara lain menumpukan kepada beberapa buah kereta dan motosikal mewah dan juga nombor pendaftaran kenderaan eksklusif milik setiausaha agung PAS itu.
Takiyuddin berkata, ia merupakan antara perkara yang disoal penyiasat ketika dirakam keterangannya di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
“Saya dipanggil untuk menjelaskan mengenai dakwaan dalam Sarawak Report oleh editornya, Clare Rewcastle-Brown.
“Saya cuma ditanya mengenai isu-isu berkenaan termasuk dakwaan pemilikan kereta dan motosikal mewah.
Beliau dirakam keterangan selama lebih empat jam sejak tiba di ibu pejabat SPRM jam 9.20 pagi ini.
Menurutnya beliau tidak dikehendaki untuk hadir semula bagi siasatan SPRM.
Takiyuddin merupakan pemimpin PAS kedua yang disoal berhubung dakwaan menerima dana RM90 juta daripada Umno.
Penyiasat anti rasuah sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 8 Februari lalu.
Dua lagi yang disiasat merupakan bekas pemimpin parti itu, termasuk bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa yang memberi keterangan pada hari sama, 8 Februari.
Seorang lagi, bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.
Takiyuddin pada 11 Februari lalu mengesahkan bahawa Nik Mohamad Abduh merupakan individu yang bercakap dalam satu rakaman suara berhubung penerimaan wang daripada Umno.
Rakaman tersebut yang tersebar pada sejak Februari tahun lalu antara lain mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.
Wang berkenaan didakwa digunakan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.
Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad.
Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.
Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London pada minggu lalu namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.
Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.
Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiaya calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.
Sarawak Report mendakwa, sejumlah kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS.
Penyiasat turut menyenaraikan bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan sebagai saksi dalam siasatan kes melibatkan pemimpin PAS.
Namanya disebut Rewcastle-Brown dalam tulisan yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu