UM teroka pelajar urus sendiri pilihan raya kampus

PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam sejarah universiti awam Malaysia, pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar di universiti tertua negara ini akan diuruskan sepenuhnya oleh pelajarnya tahun ini.
Di Universiti Malaya (UM), Jawatankuasa Pilihan raya Kampus (CEC), yang dianggotai sepenuhnya oleh pelajar universiti itu, telah diwujudkan bagi mengurus dan memantau pilihan raya yang akan diadakan pada 4 Mac ini.
Ini susulan pengumuman kerajaan pada September tahun lepas bahawa pilihan raya kampus di universiti awam akan bebas daripada campur tangan pentadbir universiti.
“Kali pertama dalam sejarah UM dan juga di Malaysia, kami membenarkan pelajar mengurus sendiri pilihan raya,” kata timbalan naib canselor Bahagian Hal-ehwal Pelajar dan Alumni UM, Abdul Aziz Abdul Rahman kepada FMT.
Katanya, UM mahu memperkasakan pelajar dan membuktikan bahawa mereka mampu mengurus hal-ehwal mereka sendiri.
“Kami percaya ini akan membantu membina mereka sebagai pelajar serba boleh. Apabila tamat belajar, mereka akan membawa nilai kepimpinan ini bersama-sama mereka.
“Ia baik untuk Malaysia. Ini sumbangan kami,” katanya.
Para pelajar pula nampaknya menyambut baik perkembangan itu. Kira-kira 300 pelajar berarak ke bangunan Bahagian Hal-ehwal Pelajar dan Alumni bagi menunjukkan sokongan kepada parti-parti pelajar semasa penamaan calon baru-baru ini.
Dengan penuh semangat, mereka melaungkan slogan dan mengibarkan bendera parti semasa berarak.
Tidak seperti dulu, parti pelajar kini lebih bebas dengan mereka dibenarkan menaikkan poster serta sepanduk dan mengedarkan risalah masing-masing.
Pondok mengundi akan ditempatkan di setiap fakulti, dan tidak hanya di Dewan Tunku Canselor, sementara parti pelajar yang bertanding diberikan tempoh berkempen lebih lama.
Mereka diberikan kebebasan untuk mencalonkan mana-mana anggota tanpa memerlukan kelulusan daripada dekan fakti masing-masing.
Presiden CEC, Vanessa Scully berkata, cabaran utama sekarang ialah mendapatkan keyakinan pelajar berikutan janji untuk menganjurkan pilihan raya yang adil dan telus.
“Kini pelajar mengurus sendiri pelajar,” katanya.
“Ia sesuatu yang tidak pernah dialami sejak 1960-an lagi.”

Scully, yang merupakan pelajar undang-undang berkata, CEC berjaya mengurus pilihan raya hanya dalam tempoh 4 bulan dengan kerja-kerja awal bermula pada November tahun lepas.
Pilihan raya tahun ini menyaksikan persaingan 5 penjuru antara Suara Siswa, Penggerak Mahasiswa, Neo-Siswa, Harmoni dan Pewaris.
FMT bercakap dengan 3 kumpulan terbesar, iaitu Suara Siswa Penggerak Mahasiswa dan Neo-Siswa tentang perjuangan masing-masing.
Selain menggesa penglibatan langsung pelajar dalam proses pembuatan keputusan UM berkenaan dasar, Suara Siswa berjanji untuk meningkatkan autonomi pelajar dengan memperkenalkan kesatuan pelajar.
Penubuhan kesatuan pelajar telah dihadkan sejak pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada 1971.
Manifesto Suara Siswa juga berjanji untuk meningkatkan keselamatan di kampus serta menjamin kebebasan pelajar untuk berpersatuan.
Wong Yan Ke, pemimpin Umany, satu daripada 3 parti komponen yang membentuk Suara Siswa berkata, keputusan membenarkan pelajar mengurus sendiri pilihan raya kampus merupakan langkah yang tepat.
Sementara itu, Penggerak Mahasiswa yang memenangi pilihan raya kampus sejak 3 tahun lepas yakin mereka akan menang sekali lagi kali ini.
Wakilnya, Muhammad Saidul Husaini, 22, berkata, mereka memperjuangakan kebajikan pelajar yang lebih baik dalam pilihan raya kali ini dan tidak terhad kepada isu autonomi pelajar semata-mata.
“Kami bekerjasama dengan pentadbir universiti bagi memperbaiki kualiti hidup pelajar selama ini,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang 3 tahun lepas, mereka memberikan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan, memulakan dana untuk pelajar miskin dan memperbaiki kecekapan perkhidmatan bas kampus.
“Jika kami menang tahun ini, kami akan menangani isu berkaitan dasar pendidikan kebangsaan, seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).”
Selain itu, parti Islam Neo-Siswa berjanji untuk menggalakkan lebih ramai pelajar intelektual yang berfikiran dalam program dan inisiatifnya.
“Kami mahu melihat pelajar menggunakan pengetahuan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat,” kata wakilnya, Mohamad Syafiq Mohd Adabi, 22.
Merka juga mahu menggunakan Islam sebagai penyelesaian bagi masalah yang dihadapi pelajar.
“Kita ada masalah kebajikan pelajar seperti kurangnya bas kampus, kemudahan WiFi yang tidak memuaskan dan kekurangan makanan. Kami mencadangkan satu sistem ‘wakaf’, supaya dana yang ada boleh digunakan untuk menaik taraf kemudahan universiti,” katanya.
Mereka juga mahu menggalakkan lebih banyak kegiatan dakwah dan penyebaran pengetahun Islam di universiti berkenaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu