Anwar curiga data lebih ramai miskin bandar berbanding desa
Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Anwar Ibrahim
melahirkan kecurigaannya terhadap data kemiskinan yang menunjukkan
jumlah golongan miskin bandar lebih tinggi berbanding miskin desa di
negara ini.
“Apakah mungkin perangkaan yang dikutip oleh agensi
kerajaan khasnya e-kasih lebih tertumpu di bandar daripada desa khilaf
kerana statistik menunjukkan seolah-olah kemiskinan di bandar lebih
teruk daripada desa?“Saya mencurigai bahawa menurut strata kemiskinan yang menunjukkan lebih ramai miskin di bandar berbanding di desa,” katanya dalam jawapan perbahasan terhadap titah Yang di-Pertuan Agung di parlimen hari ini.
Perangkaan tersebut diperolehi daripada taklimat isu kemiskinan yang diberikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada kaukus tersebut pada 5 Mac.
Berdasarkan taklimat itu, status kemiskinan sehingga 28 Februari 2019 menunjukkan jumlah kemiskinan yang disahkan berjumlah 190,534 yang mana jumlah miskin sebanyak 134,553 dan miskin tegar 55,981.
Daripada jumlah tersebut, jumlah miskin bandar didapati seramai 107,114 (56 peratus), lebih tinggi dari jumlah miskin luar bandar iaitu 83,420 (42 peratus).
Tiga negeri yang dilaporkan dengan kemiskinan tertinggi ialah Sarawak (59,095 orang miskin), Sabah (39.715) dan seterusnya Kelantan (38,661).
Daripada jumlah 190,534 orang miskin tersebut juga, 71,717 (38 peratus) bekerja sendiri, 63,393 (33 peratus) bekerja dan bergaji manakala 55,424 (29 peratus) lagi tiada pekerjaan.
Oleh hal yang demikian, presiden PKR itu mencadangkan bancian penduduk miskin dipertingkatkan dengan pelbagai agensi turun ke lapangan bagi menjejaki dan mendaftar orang miskin di luar bandar.
Tambahnya, pejabat wakil rakyat juga seharusnya diberikan peranan untuk mendaftarkan orang miskin bawah program e-kasih dan seterusnya melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan bawah kerajaan termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH).
“Ini memperbaiki amalan yang sedia ada yang mana orang miskin yang terpaksa bersusah-payah berbelanja dengan hanya wang yang sedikit untuk mendaftarkan diri sebagai orang miskin.
“Dengan demikian kita akan mendapat perangkaan sebenar kemiskinan luar bandar yang tentunya lebih ramai daripada bandar,” katanya lagi.
Tegas anggota parlimen Port Dickson itu juga, penyelesaian terhadap masalah kemiskinan harus tidak memilih warna politik, keturunan dan demografi.
Ulasan
Catat Ulasan