KEPUTUSAN NURUL IZZAH MANIFESTASI KEKECEWAAN ANAK MUDA
Dalam keadaan kita menghormati keputusan ahli parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebenarnya ada yang lebih tersirat daripada itu.
Kebimbangan anak muda yang mewakili 40 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini sememangnya tidak boleh dipandang ringan apatah lagi ia melibatkan salah satu instrumen penting dalam sistem demokrasi iaitu dasar semak dan imbang (check and balance).
Sesebuah kerajaan yang berkesan mestilah melantik salah seorang ahli parlimen pembangkang bagi mengetuai PAC manakala timbalannya pula salah seorang dari ahli parlimen kerajaan bagi mewujudkan keseimbangan dalam demokrasi berparlimen di negara ini.
Apabila Ronald Kiandee mengumumkan menyertai BERSATU, salah sebuah parti komponen dalam kerajaan, ini sudah tentu dari segi moral tidak melayakkan dirinya untuk terus memegang jawatan berkenaan.
Seharusnya ahli parlimen Beluran itu tanpa perlu disuruh sesiapa boleh sahaja berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen bermaruah.
Namun dengan kenyataan perdana menteri yang pada awalnya mempertahankan jawatan Ronald, akhirnya dibalas dengan perletakan jawatan mengejut Nurul Izzah dalam jawatankuasa berkenaan pada ketika negara sedang menerima tetamu luar negara sempena LIMA 2019 yang sedang berlangsung di Langkawi, Kedah.
Kita percaya Nurul Izzah telah menimbangkan segala kecaman dan cemuhan namun sebenarnya ia mencerminkan kekecewaan anak muda secara keseluruhannya apabila satu demi satu janji dilanggar malah diperlekehkan.
Tidak mungkin perdana menteri tahu bahawa mengekalkan Ronald bermakna melanggar konsensus yang diamalkan di negara-negara Komanwel yang pernah menjadi tanah jajahan British satu ketika dahulu.
Lebih memburukkan lagi, Nurul Izzah juga mengumumkan bahawa penggal ini merupakan penggal terakhirnya berkhidmat sebagai ahli parlimen dan ini juga bermakna negara akan kehilangan seorang ikon anak muda yang penuh dengan warna dan idealisme termasuk aktif mewujudkan pelbagai program untuk belia dan anak muda di kawasannya.
Pada ketika kita meratapi pemergian beliau, ada pula suara-suara sumbang yang memperlekehkan keputusan berkenaan dan ini merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dari pemimpin yang mempunyai imej ‘molek’ di luar tetapi hakikatnya bernanah di dalam.
Kita juga percaya dengan keputusan drastik ini akan membuatkan kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dasar apatah lagi keputusan yang melibatkan kepentingan awam dan Nurul Izzah telah berkorban atas dasar prinsip anak muda pantang menyerah dan menjual maruah hanya menjilat mentah-mentah apa saja yang terhidang di depan mata.
Pandangan anak muda seperti Nurul Izzah seharusnya wajar diambil perhatian serius kerana di tangan merekalah negara ini akan diwariskan suatu hari nanti.
Tetapi sekiranya anak muda seperti Nurul Izzah dikesampingkan, jangan salahkan anak muda sekiranya mereka sudah mula melihat Pakatan Harapan tidak lagi berada pada landasan reformasi yang pernah digariskan sebelum merampas Putrajaya, satu ketika dahulu.
Manifestasi kekecewaan anak muda juga mungkin akan diterjemahkan ke dalam peti undi PRK Dun Rantau apabila golongan ini mewakili 48 peratus segmen umur 25 hingga 45 tahun di Dun berkenaan.
Seharusnya kerajaan bermuhasabah mencari kaedah dan jalan bagi memastikan negara tidak kehilangan seorang lagi tokoh anak muda berpotensi besar iaitu Rafizi Ramli sekiranya beliau mengikut jejak langkah sahabat baiknya itu.
Ulasan
Catat Ulasan