PERBALAHAN TERBUKA AZMIN – ANWAR, INILAH JASA & SUMBANGAN TUN M KEPADA PKR

Sekali lagi ahli-ahli akar umbi PKR melahirkan kebimbangan mereka berhubung perbalahan terbuka antara Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim.
Kali ini perbalahan itu tercetus berikutan kenyataan Nurul Izzah dengan media Singapura yang melabelkan Tun Mahathir Mohamad yang bekas diktator yang mendatangkan kesukaran untuk beliau bekerja dengannya.
Selain itu, Nurul Izzah juga menzahirkan tidak senangnya dengan kemasukan ramai bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, di sebalik janji reformasi yang dilihat begitu perlahan untuk dilaksanakan.
Susulan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang pernah digelar Puteri Reformasi mengumumkan tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang.
Pendirian Nurul Izzah itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada Azmin selaku Timbalan Presiden yang menganggapnya seperti bayi yang suka merengek dan tidak tahan dengan panasnya bahang sebuah perjuangan.
Walau bagaimanapun, Anwar mempertahankan pendirian Nurul Izzah itu dengan mengatakan anak perempuannya berhak menyatakan pendirian dan meluahkan rasa hatinya berdasarkan getirnya perjuangan menegakkan reformasi yang dilaluinya sejak 1998 lagi.
Presiden PKR seterusnya meminta Azmin yang merupakan timbalannya agar bertenang daripada memberi reaksi terhadap isu-isu tertentu.
“Saya rasa dia perlu bertenang sedikit. Dia perlu sentiasa menumpukan kepada isu-isu pusat.
“Ada orang yang mahu lindungi prinsip dan pendirian, ada orang yang hanya cuma mahu mempertahankan kedudukan dengan apa cara sekali pun. Jadi anda perlu ambil kira perkara ini,” kata Anwar dengan nada separuh menyindir.
Mengimbas beberapa detik berlalu, perbalahan terbuka ini bukanlah kali pertama berlaku antara Azmin dengan Anwar.
Sebelum ini Azmin turut mempertikaikan perlantikan beberapa jawatan lantikan dalam PKR yang diketahui umum merupakan hak prerogatif Anwar selaku Presiden parti tersebut.
Kenapakah Azmin semakin berani menyanggah Anwar sedangkan beliau pernah bekerja sebagai Setiausaha Sulit kepada Anwar dan kemudian sama-sama menggerakkan PKR sejak daripada awal penubuhannya lagi?
Bukankah Azmin sepatutnya lebih rapat berganding bahu dengan Anwar kerana PKR sekarang sudah pun menjadi kerajaan serta Anwar telah dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri selepas Tun Mahathir?
Apakah punca segala ini?
Jika diperhati dan dianalisa, perubahan sikap Azmin ini hanya berlaku setelah beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Mahathir sebaik PH menang PRU14 lalu.
Sebelum ini, malah ketika Anwar berada di penjara sekali pun, Azmin adalah seorang yang sentiasa taat, setia dan akur kepada Anwar yang merupakan lambang tertubuhnya parti PKR itu sendiri.
Dengan diberikan jawatan menteri kanan itu oleh Tun Mahathir, meskipun namanya tidak pernah dicadangkan oleh PKR untuk  dijadikan menteri pusat lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor,  Azmin seperti terasa beliau bukan lagi dirinya yang dulu.
Jawatan baru ini seolah-olah meletakkan dirinya di awang-awangan yang dirasakan mampu untuk menggapai awan di langit biru.
Apatah lagi, beliau juga diberikan kuasa oleh Tun Mahathir untuk mengumumkan projek-projek mega di beberapa negeri yang dilawatinya.
Semua ini menjadikan Azmin sekarang bukan lagi Azmin yang dulu.
Kiranya Azmin masih berjawatan Menteri Besar Selangor, tentu beliau tidak bersikap seperti sekarang ini.
Hakikatnya, inilah salah satu sumbangan dan kejayaan Tun Mahathir kepada PKR.
Beliau telah berjaya menjadikan Azmin beralih kiblat kepadanya, meninggalkan Anwar serta tidak segan-segan lagi berbalah secara terbuka dengan Presiden partinya sendiri.
PKR yang dulunya ditubuhkan kerana protes terhadap Tun Mahathir selepas Anwar dipecat pada 1998, kini seperti sedang diagendakan untuk diretak dan dipecahkan, yang lebih malang ia berlaku dalam keadaan hanya selangkah saia lagi menjelang Anwar menjadi Perdana Menteri.
Apakah PKR yang ditubuhkan kerana menentang Tun Mahathir, kini sedang diusahakan untuk dimusnahkan oleh orang yang sama?
Yang lebih penting, apakah ahli-ahli PKR akan membiarkan saja keadaan itu berlaku tanpa berbuat apa-apa?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar