KUCHING, 29 Julai — Ketua
Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu PH Sarawak
menangani pengaruh negatif, perkauman dan pemikiran yang sempit, dalam
menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-12. Beliau yang juga
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata PH ingin perubahan bukan
sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di Sarawak, di mana PH
Sarawak perlu dapat persetujuan untuk bergerak sebagai satu pasukan
padu.
“Kita tidak akan dapat bergerak sebagai sebuah negara
jika kita tidak boleh berfikir melangkaui rumah panjang kita, atau
bangsa atau anutan agama kita hanya boleh berjaya jika kita mempunyai
amalan keadilan dan timbang rasa yang mencerminkan sifat kemanusiaan
kita.
“Dan Sarawak perlu
bergerak sebagai satu pasukan untuk menolak apa-apa bentuk agenda rasis
atau ketaksuban agama,” katanya pada majlis makan ‘Harapan Sarawak Baru’
di sini malam tadi.
Turut
hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Ahli Majlis Tertinggi Pusat DAP Lim Kit Siang, Parti
Amanah Nasional Mohamad Sabu, Ketua Wanita PH Zuraidah Kamaruddin dan
pemimpin PH negeri termasuk Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru
Bian yang juga Pengerusi PH Sarawak, serta Pengerusi DAP Sarawak Chong
Chieng Jen.
Terdahulu,
Muhyiddin berkata rakyat Sarawak sendiri mampu membetulkan senario
politik negeri yang diperintah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)
pada pilihan negeri yang dijangka diadakan seawal hujung tahun hadapan.
“Rakyat Sarawak mempunyai
cita cita dan harapan yang begitu tinggi, malangnya pada hari ini GPS
di Sarawak bersendirian dan tidak mahu menubuh kerjasama demi kemajuan
(dengan PH)” katanya.
Sementara itu Mohamad
Sabu yakin Sarawak akan terus berkembang, kerana walaupun berbeza
politik, masalah boleh diselesai dengan baik.
Oleh itu, beliau meminta
pihak tertentu agar tidak mengimport isu perkauman, yang dimainkan di
sebelah Semenanjung, khasnya oleh PAS dan Umno ke Sarawak.
Ulasan
Catat Ulasan