Kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri
kabinet masih belum nampak pengakhirannya. Tidak ada kejelasan bagaimana
kes ini akan diakhiri.
Selagi tidak diakhiri, selagi itulah ia
menjadi api dalam sekam, duri dalam daging yang akan membakar dan
merobek-robek PKR dan menjadi beban yang sangat besar pula buat Pakatan
Harapan.
Apakah kes ini sememangnya dirancang supaya tiada
pengakhiran yang segera? Apakah ada pihak berkepentingan yang sengaja
membiarkan kes ini berterusan supaya mereka punya masa untuk membuat ‘deal’ di belakang tabir?
Iklan
Apakah
terdapat usaha tersusun untuk memperpanjangkan kes ini supaya ia terus
berlarutan agar pihak-pihak yang berkonflik semakin tajam perpecahannya
dan menjadi lemah?
Dan kalau kes ini berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas, siapakah yang mendapat untung daripadanya?
Persoalan-persoalan
ini tentunya membawa kita kepada suatu istilah yang kerap digunakan
sekarang apabila merujuk kepada kes video seks tersebut – konspirasi
politik.
Istilah konspirasi merujuk kepada suatu bentuk pakatan,
komplot atau persekongkolan antara dua orang atau lebih secara rahsia
untuk melakukan tindakan-tindakan bagi mencapai tujuan yang telah
dipersetujui bersama.
politik merujuk kepada kuasa yang
membolehkan pemegang kuasa menentukan sumber-sumber bernilai dalam
pelbagai bentuk diagihkan kepada siapa, bila dan bagaimana.
Justeru
itu, konspirasi politik secara mudahnya adalah suatu komplot rahsia
antara dua atau lebih orang untuk mendapatkan kuasa.
Mahathir pernah dituduh sebagai dalang konspirasi politik melibatkan Anwar
Memandangkan
kuasa yang bakal diperoleh itu akan menentukan bagaimana sumber-sumber
bernilai diurus dan diagihkan, maka konspirasi politik adalah suatu
aktiviti lumrah dalam persaingan untuk mendapatkan kuasa di mana-mana
negara di dunia.
Memandangkan ia suatu yang lumrah dan wujud
sebagai sebahagian dari sifat yang terkandung dalam persaingan kuasa
untuk merebut sumber, ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah.
Ia mungkin boleh dianggap sebagai kesalahan moral dan etika, tapi bukan
kesalahan jenayah.
Dan dalam konteks negara kita Malaysia, tiada
undang-undang yang menyatakan bahawa konspirasi politik itu suatu
kesalahan jenayah.
Malahan perdana menteri kita sekarang, Dr
Mahathir Mohamad pernah dituduh sebagai dalang kepada konspirasi politik
kes pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri yang
kemudiannya mencetuskan gerakan reformasi 1998 dahulu. Jatuh-menjatuh, cantas-mencantas
Walaupun
Mahathir pernah dituduh sebagai dalangnya tapi tiada undang-undang
negara yang boleh menyabitkan beliau dengan kesalahan konspirasi
politik.
Kalau hendak disabitkan dengan kesalahan, yang termaktub
dalam undang-undang hanyalah kesalahan penyalahgunaan kuasa, misalnya
mempengaruhi pihak polis untuk meneruskan atau tidak meneruskan tindakan
yang sewajarnya.
Inilah yang terjadi kepada Anwar Ibrahim pada
tahun-tahun reformasi 1998. Beliau dipenjarakan pada waktu itu bukan
kerana liwat tetapi kerana penyalahgunaan kuasa, yakni beliau juga
dituduh menggunakan kedudukan dan kuasanya sebagai timbalan perdana
menteri ketika itu untuk mempengaruhi pihak polis bagi mengetepikan
siasatan ke atas tuduhan liwat.
Justeru, berkonspirasi politik
bukanlah suatu kesalahan jenayah. Kecuali kalau dapat dibuktikan
seseorang itu menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mempengaruhi
institusi negara misalnya pihak polis, bagi mencapai matlamat
politiknya.
Hanya setelah hal itu dibuktikan barulah boleh ia dikatakan kesalahan jenayah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa.
Justeru,
kalau diteliti daripada kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip
wajah seorang menteri kabinet itu terdapat dua bentuk konspirasi politik
yang diketengahkan kepada masyarakat awam.
Pejabat perdana menteri, gambar hiasan
Pertama,
konspirasi untuk menjatuhkan menteri kabinet tersebut. Jatuh-menjatuh,
cantas-mencantas adalah suatu tindakan politik yang lumrah dalam
persaingan kuasa. Tiada apa-apa kesalahan jenayah dalam tindakan politik
ini.
Yang menjadi kesalahan jenayah adalah kaedah yang
digunakan, yakni menerbitkan dan mengedar kandungan lucah kepada
masyarakat awam.
Kedua, konspirasi untuk menghalang seorang ahli
parlimen yang telah dijanjikan dengan jawatan perdana menteri daripada
mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga bukanlah kesalahan jenayah. Yang
menjadi kesalahan jenayah dalam konteks konspirasi kedua ini, seperti
mana konspirasi pertama ialah kaedahnya.
Apakah kaedah yang
digunakan untuk menghalang ahli parlimen yang dijanjikan jawatan perdana
menteri itu melibatkan penyalahgunaan kuasa?
Apakah kuasa yang
dimiliki itu digunakan untuk mempengaruhi institusi negara, dalam kes
ini pihak polis, agar ahli parlimen tersebut akhirnya diketepikan
daripada menjawat jawatan Perdana Menteri?
Pada 12 Jun 2019 ketika ditanya wartawan tentang video seks tersebut Mahathir berkata:
“I don’t think this thing is true. Because nowdays you can produce all kinds of pictures if you are clever enough.” Bebas daripada pengaruh Mahathir?
Dengan
kata lain Mahathir berpandangan bahawa video tersebut adalah palsu dan
dengan teknologi hari ini ia boleh dimanipulasikan.
Selanjutnya Tun Mahathir turut menyatakan:
“This is cooked up by somebody who has a political agenda.”
Ia membawa maksud video ini dibuat oleh seseorang yang punya agenda politik yang tertentu.
Kenyataan
Mahathir ini dibuat sebelum pihak polis selesai menjalankan siasatan
mereka. Kalau diteliti dari kenyataan Mahathir itu tumpuan beliau bukan
kepada siapa pelaku aktiviti seksual tersebut tetapi kepada ketulenan
video dan siapa dalang di belakangnya.
Abdul Hamid Bador
Sama
ada secara kebetulan atau tidak, pada 18 Julai 2019, setelah lebih
kurang sebulan melakukan siasatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador
akhirnya mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan bahawa
kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi tetapi hasil
pengecaman wajah adalah negatif.
Namun begitu beliau tidak pula memperincikan bagaimana keputusan negatif itu diperolehi.
Yang
lebih memusykilkan lagi ialah apabila beredar berita bahawa pakar
forensik imej digital dari sebuah syarikat di Indonesia pula memutuskan
bahawa pengecaman wajah mereka yang didakwa melakukan aktiviti seksual
itu adalah positif.
Selanjutnya Abdul Hamid turut menyatakan
bahawa dalang yang terbabit dalam “pakatan jahat” menghasilkan video
tersebut adalah seorang pemimpin sebuah parti politik.
Dikatakan
juga pemimpin parti politik itu telah mengupah pihak tertentu dengan
biaya ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video seks itu.
Sekali lagi tiada perincian yang dihuraikan oleh beliau bagaimana penemuan ini diperolehi.
Membandingkan
kenyataan Mahathir pada 12 Jun 2019 dan kenyataan daripada Abdul Hamid
pada 18 Julai 2019 suatu persoalan timbul – apakah fokus ketua polis
negara dipengaruhi oleh kenyataan Dr Mahathir selaku pemegang kuasa
tertinggi pemerintahan negara?
Apakah Abdul Hamid bertindak bebas
daripada pengaruh Dr Mahathir? Apakah Abdul Hamid Bahador benar-benar
bertindak mengikut keluhuran undang-undang negara?
Jika Abdul
Hamid Bahador benar-benar bebas dan dan mematuhi keluhuran undang-undang
negara kenapakah fokus siasatan hanya tertumpu kepada mencari dalang
semata-mata?
Kenapa siasatan untuk mencari dan membuktikan siapa
pelakunya tidak diberi tumpuan yang sama penting? Konspirasi politik
bukanlah kesalahan jenayah. Tapi menerbit dan mengedar bahan-bahan lucah
adalah kesalahan jenayah.
Begitu juga dengan melakukan seks di
luar tabii turut termaktub dalam Kanun Keseksaan perkara 377B sebagai
suatu kesalahan jenayah.
Sehinggalah ahli parlimen kita
membatalkan perkara tersebut, tidak dapat tidak ia masih tetap menjadi
sebahagian daripada undang-undang negara.
Jadi persoalannya apakah
Hamid Bahador benar-benar bebas dan bertindak mengikut undang-undang
yang telah termaktub atau beliau dipengaruhi oleh kenyataan yang telah
dibuat oleh Mahathir yang merupakan pemegang kuasa tertinggi
pemerintahan negara?
Atau sebenarnya terdapat suatu konspirasi
politik untuk memanjangkan kes video seks ini supaya tiada pengakhiran
yang tuntas dan segera agar pihak yang bertelagah akhirnya lelah,
berpecah dan menjadi lemah?
Seperti mana yang telah dihuraikan
sebelumnya – konspirasi politik bukan suatu kesalahan jenayah. Tapi
menyalahgunakan institusi negara, kedudukan dan kuasa yang diamanahkan
oleh rakyat untuk menjayakan agenda politik diri sendiri atau diri
proksi yang menaungi bukan sahaja suatu kesalahan jenayah tetapi juga
suatu kesalahan moral dan etika.
PETALING JAYA: Seramai 9 ahli Parlimen PKR, termasuk 2 menteri persekutuan mengumumkan keluar parti dan Pakatan Harapan, beberapa minit selepas pemecatan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin. Mereka menerusi satu kenyataan berkata, blok bebas akan dibentuk di Parlimen yang turut disertai Azmin (Gombak) dan Zuraida (Ampang) yang mengisytiharkan keluar daripada PH. Sembilan wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Menteri Kerja Raya, Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). Semua 11 ahli Parlimen ini bersekutu dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang baru menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Azmin dan Zuraida antara pemimpin PKR yang menemui ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, M...
Ganti rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara. Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Muyhiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz. Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018. Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Najib Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata. Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas Goldman Sachs ini adalah kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden PAS merangkap duta khas bertaraf men...
Hari ini barangkali merupakan hari yang benar-benar menggembirakan buat Rafizi Ramli. Ini berikutan beliau kini bebas sepenuhnya daripada beban perundangan setelah Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan pembebasannya di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan atau BAFIA. “Pagi ini Peguam Negara melalui Timbalan Perdakwa Raya (DPP) telah menarik balik notis rayuan yang difailkan sebelum ini. Notis rayuan itu telah ditandatangani oleh Tommy Thomas sendiri (Peguam Negara). “Ini bermakna keputusan melepaskan dan membebaskan Rafizi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu adalah kekal. Kini Rafizi lepas dan bebas sepenuhnya,” jelas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid. Begitu pun, kegembiraan bekas Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu tentunya tidak dikongsi sepenuhnya oleh penyokong-penyokong beliau dalam PKR serta mereka yang rasa terhutang budi dengan banyak sumbangannya selama ini dalam usaha menumbangkan UMNO dan BN. Rat...
Ulasan
Catat Ulasan