PERJUANGAN ANWAR IBRAHIM

Kontroversi terbaru yang melanda Parti Keadilan Rakyat berkaitan isu video lucah sekali lagi menguji kewibawaan seorang tokoh bernama Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Sosok bernama Anwar Ibrahim ini memang tidak pernah asing dengan cubaan dan dugaan. Namanya tidak pernah sepi dari hiruk pikuk politik yang senantiasa berkumandang.
Sejak awal perjuangannya hingga kini, sosok berani yang tegar berjuang ini tidak akan pernah lesu dari terus menegakkan kebenaran.
Setiap ujian dan dugaan berjaya ditangani dengan kemas sekaligus memperlihatkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin.
*ISU SEMBURIT*
Awal aidilfitri lalu negara dikejutkan dengan tersebarnya video lucah yang memaparkan dua individu sama jenis yang sedang bertarung di ranjang.
Hakikatnya video jijik dan kotor ini sewajarnya tidak perlu ditonton langsung. Namun kontroversi itu mula meruncing apabila pelaku didalam video tersebut mirip salah seorang pemimpin kanan PKR.
Kontroversi bertambah hangat apabila salah seorang dari pelaku tersebut membuat kenyataan terbuka mengakui bahawa beliau adalah individu didalam video itu bersama seorang pemimpin.
Justeru awan hitam mula menyelubungi PKR. Para pengamal media mula menjadi paparazi mengejar setiap pimpinan PKR untuk mendapatkan bahan cerita.
Tentunya Anwar Ibrahim selaku presiden parti juga tidak terlepas dari menjadi buruan para pengamal media yang dahagakan maklumat.
Kemana Anwar pergi, wartawan akan terus memburu dan mencari ruang untuk menemuramah beliau.
Inilah kelebihan Anwar. Beliau sentiasa mempamerkan sikap tenang yang tidak dibuat-buat, tidak berlakon dan kelihatan berwibawa.
Tidak seperti segelintir pemimpin yang kononnya kekal tenang, tetapi jiwanya bergelojak dan minda berkecamuk menepis serangan media.
Kadangkala segelintir mereka kesabarannya juga koyak rabak sehingga raut wajahnya boleh ditafsir sedang berinteraksi dalam keadaan tertekan.
Anwar tidak sekali-kali begitu. Beliau kekal tenang melayani setiap penjuru soalan walaupun kadangkala jenuh diasak ketepi dinding. Beliau tolak asakan demi asakan sehingga yang menekan itu kendur lalu berundur.
Yang tersimpul, terlepas. Yang gelap bercahaya semula. Yang buntu, menemui jalan. Begitulah ibaratnya bila Anwar mula berpencak menyelesaikan masalah.
*CUBAAN MENGAITKAN ANWAR*
Isu kontroversi video lucah yang berkumandang kini sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan politik Parti Keadilan Rakyat.
Tahun pertama sebagai komponen terkuat kerajaan pemerintah, tentunya PKR perlu dilihat utuh dan stabil dari segi kedudukan politik.
Cubaan mengaitkan Anwar sebagai dalang video lucah ini adalah cubaan bodoh dan jahat yang datangnya dari golongan pemakan dedak yang tahap pengetahuan politiknya berada di dasar sungai.
Suhu sedikit naik apabila pemimpin yang dikaitkan sebagai pelaku dalam video tersebut juga bersikap pramatang.
Mungkin tertekan kerana wajahnya mirip benar dengan pelaku didalam video menyebabkan pemimpin terbabit kelihatan sedikit goyah dengan langkah-langkah terdesak meraih simpati.
Hakikatnya Anwar tetap seperti biasa mempamerkan kewibawaannya dengan menguruskan isu ini secara tenang dan berhati-hati.
Jika diamati dan diteliti, Anwar sebenarnya sedang memelihara aib pemimpin terbabit secara halus.
Walaupun diserang bertubi-tubi oleh macai-macai pemakan dedak, Anwar tetap tidak melatah dan dilihat berjaya menguruskan isu ini dengan baik sekali.
*MENGURUSKAN PERSEPSI*
Isu utama yang perlu ditangani dari kontroversi yang melanda adalah pengurusan persepsi.
Tersilap langkah dalam mengurus persepsi, masyarakat awam akan melihat bahawa pertembungan yang maha dahsyat sedang berlaku dalam PKR.
Justeru Anwar dilihat begitu berhati-hati dalam mengambil setiap langkah. Khususnya dalam menangani persepsi di media.
Anwar akan sentiasa mempamerkan sikap profesional dengan meraikan dan mendengar pandangan semua pihak sebelum sesuatu langkah diambil.
Walaupun diasak kiri dan kanan, Anwar tetap dilihat begitu tenang khususnya ketika berhadapan dengan persepsi awam.
Sehinggakan ada yang meloncat menyuruh Anwar bercermin muka. Tetapi Anwar tidak membalas serangan kasar itu dengan cara yang sama.
Sebaliknya Anwar dilihat berjaya mengendurkan ketegangan secara bijak sambil berseloroh. Bayangkan jika Anwar mengambil pendekatan yang sama. Nescaya meletus lah perang besar didalam cawan.
Kini yang dilihat tidak bijak lagi bodoh adalah orang yang menyuruh Anwar bercermin muka. Kalaulah Anwar menempelaknya semula, tentu individu terbabit sudah tersembam menyorok muka ke bawah tanah.
Hakikatnya Anwar seorang pemimpin yang mengamalkan sikap toleransi yang amat tinggi. Kerana disiplin inilah yang berjaya meletakkan Anwar sentiasa dihadapan.
Malah Anwar sentiasa bersikap menghulur tangan tanda persahabatan. Itu bermakna Anwar seorang yang tidak gemar bersengketa.
*STRATEGI KUBU KOSONG*
Dari cerita-cerita sumbang tulisan macai yang menganggap dirinya sebagai strategis agung, tentunya kisah silam seperti Zhuge Liang mempertahankan kubu kosong akan cuba ditafsirkan dengan nadanya sendiri.
Hakikatnya Anwar adalah ibarat Naga Tidur yang penuh dengan kejutan.
Buktinya jelas apabila sokongan pimpinan PKR meliputi dua pertiga seluruh negara berjaya diperolehi dengan mudah.
Maka istilah "kubu kosong" dan retorik ternyata hanyalah khayalan minda macai yang merasa dirinya sebagai penasihat padahal punah dan tidak sihat.
Sokongan yang diperolehi Anwar adalah kuat dan jelas. Tetapi Anwar tetap tenang dan tidak pula mempamerkan sikap gelojoh untuk menunjukkan kekuatannya.
Segelintir pemimpin kelihatan begitu terdesak untuk mempamerkan kekuatan sehinggakan kenduri doa selamat juga dijadikan medan untuk mobilisasi sokongan.
Pendekatan yang amat berbeza dengan cara Anwar. Majlis doa dan zikir sudah menjadi amalan sekian lama yang dipraktikkan Anwar di kediamannya.
Malah setiap kali majlis usrah dan program berbentuk keagamaan berlangsung, Anwar akan bertegas bahawa tiada langsung cakap-cakap politik dalam majlis tersebut.
Inilah perbezaan jelas pemimpin sejati dengan pemimpin yang berpura-pura.
*ANWAR PM KE 8*
Semua orang tahu antara isi perjanjian ketika Pakatan Harapan dibentuk adalah Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri.
Yang tidak diketahui umum hanyalah bila dan tempoh transisinya. Tetapi jelas arahnya bahawa Anwar akan naik menduduki kerusi nombor wahid negara.
Justeru tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Sokongan padu yang ditunjukkan Anwar kepada Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad, jelas memberikan isyarat bahawa semuanya berada dalam keadaan baik.
Ditambah pula kecekapan YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam membantu pentadbiran negara dikedudukan nombor dua, jelas menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan berada dalam keadaan stabil dan kuat.
Hanya cakap-cakap cerita rekayasa macai cicak mengkarung yang dengki melihat segalanya berjalan baik, maka ditimbulkan persepsi bahawa transisi jawatan perdana menteri sedang menghadapi masalah.
Tidak sukar untuk kita faham bahawa cerita-cerita rekayasa buruk ini hanya ditimbulkan oleh kumpulan yang mahukan pemimpin idaman mereka naik sebagai perdana menteri.
Tentunya mereka ini menyimpan matlamat untuk akhirnya menggagalkan pelan peralihan kuasa ini daripada berlaku seterusnya menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan.
Namun ketegasan Tun Mahathir dalam memenuhi janji wajar dipuji. Sikap tenang dan toleransi Anwar terhadap Tun Mahathir juga begitu menyenangkan.
Ketokohan dan kewibawaan kedua tokoh ini jelas memberi bayangan bahawa segalanya akan lancar dan berakhir baik.
*MENGIDAM JAWATAN PM*
Tidak dinafikan terdapat segelintir pemimpin bernafsu besar mengidam jawatan untuk berada di kerusi nombor satu negara.
Kerana nafsu dan ketamakan haloba itulah yang mendorong macai-macai nya bertari menari bersilat sehingga menjejaskan persepsi kestabilan Pakatan Harapan dimata umum.
Hakikatnya jika semua pemimpin menghormati prinsip perjanjian tersebut, nescaya tidak akan timbul sebarang persepsi negatif terhadap transisi yang hampir pasti akan berlaku.
Tetapi biasalah, dalam sesebuah organisasi pasti akan terdapat seorang dua yang bernafsu besar, gelojoh dan tamak. Hanya perancangan Allah SWT yang akhirnya menyebabkan segala rencana jahat mereka tergendala.
Dan mereka yang berencana jahat ini selalunya tidak bersendiri, tetapi dikelilingi oleh mereka-mereka yang bernafsu sama.
Percayalah bahawa akhirnya yang Haq akan mengatasi yang Batil.
*WARKAH DARI PENJARA*
Ketika Anwar terpenjara, beliau sempat mengirim warkah pesan buat bekalan tatapan para sahabat seperjuangan diluar tirai besi.
Antara isi warkah tersebut berbunyi :-
"Setiap perjuangan selalu melahirkan Sejumlah pengkhianat dan para penjilat
Jangan kau gusar, saudaraku."
"Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita
Pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang
Jangan kau kecewa, saudaraku."
"Setiap perjuangan yang akan menang selalu mendatangkan pahlawan jadi-jadian
Dan para jagoan kesiangan."
Sesungguhnya nukilan ini mendatangkan kesan yang mendalam kepada setiap orang yang mengamatinya.
Kini saya timbulkan semula nukilan ini dengan pesan bahawa sesebuah perjuangan yang panjang pasti terdapat segolongan mereka yang setia membadai bersama, rebah dan berdiri demi mempertahankan prinsip.
Mereka bukan seperti para jagoan kesiangan dan pahlawan jadi-jadian yang hanya akan datang mencium tangan ketika perang sudah hampir tamat.
Maka waspadalah terhadap golongan yang datang bertopeng kerana mereka mampu menukar seribu topeng demi survival.
AKHIR KALAM, saya sentiasa berdoa dan berharap agar Bapa REFORMASI Dato' Seri Anwar Ibrahim akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya memartabatkan agenda Reformasi sebagai teras pentadbiran negara.
Justeru berbaki masa yang ada, sokongan yang amat padu akan terus diberikan kepada gandingan mantap Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Kami siap untuk berdiri mempertahankan gandingan ini dan Kerajaan Pakatan Harapan dari segala ribut kekacauan samada dari dalam dan luar.
Semoga akhirnya yang busuk dibuang, yang kusut terlerai, yang dengki jatuh tewas, dan duri dalam daging dipatahkan.
Sekian dan Salam Reformasi
Nukilan dari,
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

9 ahli Parlimen PKR keluar parti, PH

Skandal 1MDB: Penyelesaian Goldman Sachs - Ganti rugi yang merugikan

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA