Agong: Hijrah membentuk negara maju, perpaduan utuh

"Dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah," titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut. Turut hadir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.
Titah Seri Paduka, semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan.
"Negara melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi yang mampan dan juga kematangan landskap politik," titah Sultan Abdullah, di mana pada hemat Seri Paduka, masih terdapat banyak ruang lagi untuk melakukan hijrah bersama-sama.
Titah Seri Paduka, pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran serta pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan.
Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.
Menyokong usaha meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu maqasid syariah, Seri Paduka bertitah melalui pendekatan itu, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.
"Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan," titah Sultan Abdullah.
Ulasan
Catat Ulasan