Cerita anak PPR di jalanan Chow Kit – untuk Azmin Ali

TIA berusia 11 tahun, tinggal di flat di Sentul, Kuala Lumpur. Gadis sunti ini tidak bersekolah sejak dua tahun lalu. Tubuhnya kurus tanda kurang makan dan wajahnya sugul gambaran tekanan perasan.
Tia antara ratusan kanak-kanak yang muncul di Dataran Amal Chow Kit dan kerap duduk meminggir di tangga Bank CIMB. Duduk berteleku di balik kesamaran cahaya bersama sejumlah kanak-kanak lain dan bayi kecil yang dipangku ibu.
Di pedestrian ini, ratusan manusia berkumpul termasuk kanak-kanak. Sekitar jam 8 malam, Dataran Amal di seberang restoran nasi kandar Yaseen ini sudah dikerumuni manusia.
Siapa mereka?
Pada masa kini, majoriti penerima bantuan makanan ialah warga miskin bandar. Mereka penghuni PPR di sekitar Kuala Lumpur. Kemunculan kanak-kanak warga miskin bandar paling fenomenal. Anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun kini kumpulan utama menerima bantuan makanan.
Pada awal tahun 2000 ketika NGO perintis projek bantuan gelandangan mula beroperasi, kawasan pejalan kaki ini tumpuan sekitar 50 penerima bantuan. Majoriti ialah penagih dadah dan pekerja seks. Selebihnya gelandangan dan pesakit mental.
NGO perintis terkenal seperti Dapur Jalanan dan Green Outreach antara yang memulakan program ini. Selain makanan, gelandangan menerima bantuan rawatan perubatan.
Doktor pelatih atau pelajar perubatan dari pelbagai universiti tempatan menjadi tenaga penggerak utama menyediakan khidmat kesihatan.
Ia bukan kerja mudah. Merawat luka penagih dadah dan pelbagai penyakit pekerja seks memerlukan sikap dan jiwa yang murni.
Tahniah untuk sukarelawan perubatan yang hingga ke hari ini terus menjadi sebahagian daripada tradisi kerja amal di dataran ini. Malah, kini mendorong kehadiran anak-anak muda hipster untuk turut serta melakukan kerja kebajikan.
20 tahun lalu, majoriti penagih dadah di jalanan ialah pengguna heroin. Kini, generasi ini dianggap penagih langka. Daripada 300 hingga 500 penerima bantuan sekarang, hanya sekitar 40 atau 50 orang penagih dadah.
Penurunan angka komuniti ini membuktikan pengguna heroin mulai pupus di jalanan. Anak muda sekarang beralih ke dadah sintetik dan tidak berada di jalanan menjadi gelandangan.
Manakala, dalam kerumunan penerima, terdapat 10 atau 15 pekerja seks yang sangat daif dan selekeh. Mereka sebenarnya pondan tua dan pelacur veteran yang sudah tidak menerima pelanggan kerana faktor umur.
Chow Kit sumber rezeki miskin bandar
Mulai 2011, suasana Dataran Amal Chow Kit berubah berbanding 10 ke 15 tahun lalu. Angka manusia yang berkumpul kini meningkat empat ke lima kali ganda. Realitinya, mereka bukan gelandangan.
Pada 2013, wujud fenomena drastik yang mengubah demografi kemiskinan di jalanan. Lebih 50% daripada 300 hingga 500 penerima bantuan makanan dan pakaian di Dataran Amal Chow Kit ialah warga miskin bandar.
Wajah-wajah penagih dan pelacur tua sudah tenggelam dan melenyap pergi. Kalau ada pun, mereka menanti di lorong gelap Belakang Mati kerana tidak berdaya bersaing dengan majoriti komuniti miskin bandar yang sudah menguasai Dataran Amal.
Di sepanjang pedestrian 50 meter berdepan Bank CIMB ini, dipenuhi kanak-kanak dan bayi kecil. Di atas jalanan pula bersepah kaum ibu yang duduk berkumpul sambil berbual. Menunggu dan menanti satu demi satu NGO yang silih berganti datang mengedarkan makanan.
Ada kalanya, muncul berkotak-kotak pakaian terpakai yang diletakkan di tepi jalan. Kaum ibu akan berebut membuka kotak dan menggeledah pakaian.
Ketika kaum ibu sibuk menggeledah pakaian, bayi kecil yang tidur di kereta sorong atau terbongkang di pedestrian berlapikkan kotak, terbiar tanpa perhatian. Kalau diculik pun, belum tentu ada yang perasan.
Ini sinema Dataran Amal. Tidak seteruk filem Slumdog Millionaire, tetapi cukup untuk menimbulkan ketakutan. Cuma, hingga kini, keadaan di pedestarian ini hanya satu pemandangan biasa. Realitinya diabaikan oleh resam denial masyarakat Kuala Lumpur.
Suasana akan lebih riuh dan menggerunkan ketika Ramadan. Angka warga miskin bandar boleh melebihi 1,000 orang yang datang berkumpul mengharapkan bantuan.
Makanan sahur, pakaian terpakai dan duit raya antara rezeki yang ditunggu pada bulan puasa.
Daripada penagih dadah ke miskin tegar PPR
Sebagai penerbit TV, saya melihat fenomena gelandangan dan isu jalanan sejak tahun 2000. Pendedahan berharga yang diperoleh kerana sering mengikut pengasas Green Outreach, Pete Nicoll yang rajin menyusup masuk ke belakang mati mengedarkan makanan dan pelbagai pek bantuan.
Ketika itu, pekerja seks dan penagih dadah tidak berani muncul secara terbuka di laluan pejalan kaki yang diterangi lampu. Sukarelawan Green Outreach akan menyusup ke belakang mati dari lorong ke lorong. Bertemu komuniti pondan, pelacur dan penagih dadah.
Ketika itu belakang mati sudah mulai bersih. Aktiviti bisnes seks sangat tersembunyi. Pelacur dan pondan tidak lagi bergaya seksi di celah-celah lorong. Mana yang muda sudah berhijrah ke destinasi lain. Tinggal yang tua dan berpenyakit. Belakang Mati sudah perlahan-lahan mati dosanya.
13 tahun kemudian, pada 2013, saya melihat kejutan yang sangat menakutkan. Gadis sunti seperti Tia yang menunggu seawal 8 malam hingga 1 pagi untuk mendapatkan 10 bungkusan makanan adalah kisah tragik. Tia mewakili wajah baru di Chow Kit dengan episod yang mengharukan.
Selain Tia, budak lelaki bernama Mat Tom berusia 10 tahun dari Gombak juga watak baru di Chow Kit. Berseluar pendek dan t-shirt kusam, dia mencipta warna sedih di simpang empat Maju Junction.
Tidak jauh dari Dataran Amal, Mat Tom akan berlari dari kereta ke kereta yang berhenti di lampu isyarat. Tangannya dihulur tanda meminta sedekah. Mat Tom antara anak PPR yang tidak lagi bersekolah. Dia watak tragis dalam filem terkini fenomena miskin bandar.
Mat Tom sama seperti Tia. Kemiskinan menjadikan mereka hamba di jalanan. Sekali gus membunuh jiwa kanak-kanak yang sewajarnya membesar di sekolah.
“Saya tak sekolah. Tak cukup duit. Saya pun pening kepala nak tanya ayah kenapa tak hantar saya ke sekolah. Saya lebih kerap ke sini dan nanti jam 1 pagi, ayah datang ambil,” kata Tia.
Pada usia 11 tahun, dengan tubuh kurus dan gaun buruk yang dipakainya menjadikan saya cemas. Chow Kit bukan tempat selamat untuk Tia hidup saban malam.
Pelbagai jenis manusia bercampur aduk. Antara yang miskin dan berbahaya secara diam – satu ancaman bagi gadis sunti seperti Tia.
“Dah dapat nasi kenapa belum pulang?,” tanya saya.
Dia nampak gusar dan wajahnya murung. Menarik nafas tanda letih dan matanya kuyu tanda mengantuk.
“Kena dapat 10 bungkus. Sebab ada tiga adik lagi di rumah. Mak dan ayah lagi. Patut 12 bungkus. Kalau adalah…,” kata Tia.
Saya bingung: “Kenapa sampai 10 bungkus?”
“Sebab untuk makan malam dan simpan esok untuk sarapan. Rumah tak ada makanan,” katanya.
Tia satu antara puluhan kanak-kanak jalanan yang tidak bersekolah. Dia bukan anak gelandangan. Seperti puluhan kanak-kanak lain serta ratusan kaum ibu yang memenuhi pedestrian, mereka ialah penghuni miskin bandar.
Terima kasih Khalid Samad
Ini antara kisah 78,000 penghuni PPR di ibu kota. Keluarga miskin yang tidak berdaya bertahan hidup di rumah kerana kekurangan akses makanan menyebabkan mereka keluar ke jalanan mendapatkan bantuan.
Ini bukan fiksyen. Sesiapa saja boleh menonton filem Tia dan kelibat Mat Tom dan kawan-kawannya menyerbu kereta di lampu isyarat pada jam 12 malam hingga 2 pagi. Ini filem percuma bagi peminat senario realiti kemanusiaan.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad barangkali mendapat maklumat mengenai krisis kemiskinan tegar yang teruk di PPR. Saya andaikan begitu kerana pendirian kemanusiaannya dalam isu tunggakan sewa rumah DBKL.
Khalid berjanji tidak akan menghalau 26,860 penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan hutang rumah melebihi RM18 juta. Secara purata, 36% penghuni PPR tidak mampu membayar sewaan, walaupun hanya RM124 sebulan.
Jangan tuduh penyewa liat. Kemiskinan harus difahami!
Bapa Tia bekerja sebagai pengawal keselamatan. Lelaki kurus dan nampak keletihan setiap kali muncul pada jam 1 pagi menjemput Tia pulang dengan motor buruknya.
“Saya kerja pengawal keselamatan dua kali. Siang sembilan jam dan malam sembilan jam. Tapi di dua tempat berbeza,” kata bapa Tia.
“Berapa gaji?” tanya saya.
“Dapatlah bersih dalam RM1,700,” katanya.
Bunyi gajinya macam banyak. Tapi bagi keluarga yang punya enam nyawa untuk bertarung hidup – saya faham, angka gaji itu masih tidak mencukupi.
Tia harus ke jalanan mencari makanan. Pendapatan ayahnya hanya mampu menyediakan makan siang dan wang persekolahan untuk adik-adik.
Ayahnya bertarung menyediakan makan siang, kos persekolahan, bil elektrik dan air serta kos minyak pergi balik bekerja siang dan malam.
Saya rasa, ayahnya antara penghuni PPR yang gagal melunaskan sewaan.
Tugas Tia berat. Dia harus berada di Dataran Amal untuk memastikan akses makan malam dan sarapan pagi buat keluarganya.
“Makanan malam untuk enam orang, walaupun nasi putih dan ikan masin serta sayur hancur, kosnya tetap RM10 sehari. Dah RM300 sebulan,” kata kawan saya.
Itu belum masuk sarapan pagi. Barangkali RM120 sebulan. Tugas Tia realistik. Dia menyelamatkan RM420 sebulan beban ayahnya.
Ini membolehkan ayahnya menggunakan gaji RM1,700 untuk mengendalikan kos persekolahan, makan tengah hari, pakaian, sewa rumah dan segala macam bil. Serta jangan lupa, orang miskin juga sakit dan perlukan kos perubatan.
Saya tulis kisah begini berulang kali. Harap editor tidak menyampah. Cuma kali ini untuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Jangan melatah isu miskin tegar dan pendedahan Ketua Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia,
Prof Philip Alston pada Jumaat lalu mendedahkan, anggaran miskin tegar di negara ini sekitar 15%.
Kalau anggaran ini palsu, abaikan. Tetapi YB turunlah ke jalanan dan ziarahlah keluarga papa kedana di PPR.
Jawapan dan kebenaran tidak mungkin tersembunyi. Kerana kebuluran dan kemiskinan ialah filem murahan yang kini boleh ditonton di jalanan!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

GANG SETAN RUPANYA...!!!