Nyawa kemerdekaan Malaysia


Tulisan ini dititipkan untuk menzahirkan betapa besarnya jasa para pejuang kemerdekaan bangsa dan tanah air. 
Ia bukan sebuah perjalanan yang mudah, malah berliku dan panjang sebelum kita menikmatinya hari ini.
Mereka lakukan semua ini demi melihat sebuah negara berdaulat, berdiri megah, bebas dan kelak mengukir nama di pesada dunia.
Lumrah alam manusia punya berbagai cara berfikir mencuba nasibnya di alam politik. Namun sekiri mana pun atau sekanan mana pun mereka menentang penjajah, mereka disatukan dengan tekad memerdekakan tanah air.
Negara yang akan mereka bina adalah daya pengikat umpama kutub bumi menghimpunkan segala kekuatan di satu paksi.
Negara ini dari bergelar Tanah Melayu, Malaya dan kemudian Malaysia terbina atas kesepakatan yang bercirikan kepelbagaian, sederhana dan demokratik.
Raja simbol daulat
Raja sebagai tonggak negara membuka jalan kepada sebuah institusi raja (yang menjadi) simbol kedaulatan negara dan kesepaduan bangsanya.
Pemimpin datang dan pergi, rakyat menjadi penentu dalam membentuk kerajaan apakah yang mereka mahu manakala sistem demokrasi berparlimen menyediakan tapak kebebasan berpolitik.
Dari Perikatan, Barisan Nasional dan kini Pakatan Harapan adalah hasil kehendak rakyat dan simbol kebebasan berparti dan kebebasan bersuara.
Malaysia yang kita tatang dan junjung setelah 62 tahun mencurah kebaktiannya kepada penghuni bumi bertuah ini tetap menagih janji setia kepada kita untuk kita peliharanya walaupun ia bermakna jiwa raga menjadi pertaruhan.

Malaysia adalah bumi yang 'bernyawa' atas kepelbagaian bangsa dan agama, 'tenaganya' diserap dengan semangat hormat menghormati di antara penduduknya manakala, kekuatannya untuk kekal remaja pula adalah di atas ikatan setia setiap penduduknya kepada janji mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.
Saat kemerdekaan hari ini, marilah kita ingatkan kita semua bahawa, Malaysia akan 'mati' jika perkauman sempit menguasai kita.
Malaysia akan 'lemah dan longlai' sebelum rebah jika hilang perasaan hormat menghormati sesama kita dan Malaysia akan 'reput' jika kita khianati ikatan kesetiaan kita dengan kebencian dan permusuhan.
Kini 62 tahun berlalu, berikan nyawa kepada kemerdekaan ini dengan kita meniupkan roh kesepadauan, segarkan kemerdekaan kita dengan leharmonian dan remajakan kemerdekaan kita dengan penuh kasih sayang.
Tumpahkanlah kepada kemerdekaan kita perasaan ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat (Rahmah) sesama kita.
Pada waktu yang sama Malaysia tidak perlukan suara rasis, Malaysia menolak suara prejudis dan kita hanya mahukan Malaysia tanpa kebencian!
Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih. Salam Kemerdekaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu