Rakyat takkan kembali pada Umno, tapi jangan ambil mudah

Jika ada pemimpin kerajaan yang menafikan hal ini, maka pemimpin itu masih berada di kayangan elitis yang terpisah daripada realiti.
Apa yang paling ketara ialah, rakyat belum merasa sebarang perubahan signifikan yang memberi kesan kepada hidup mereka.
Kadar pengangguran masih kekal di sekitar 3.4 peratus sejak tiga tahun lalu. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 516,600 penganggur pada suku pertama 2019.
Daripada jumlah ini, seramai 174,327 merupakan pemegang ijazah. Lebih menyedihkan kebanyakan siswazah yang masih mengganggur ini datang daripada keluarga B40.
Gaji pekerja juga masih berada di takuk yang lama. Rakyat masih menunggu bagaimana kerajaan boleh membantu mereka untuk memperolehi gaji yang adil dan setimpal.
Dalam masa yang sama harga tol masih kekal, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih menunggu inisiatif yang boleh meringankan beban komitmen bulanan mereka.
Mahasiswa pula ada yang terpaksa menjual petai untuk menampung bayaran pendaftaran masuk ke universiti.
Di sebalik semua isu ekonomi saku rakyat yang belum selesai, saban hari rakyat dihidangkan pula dengan pengumuman demi pengumuman daripada pihak kerajaan yang hanya mencetuskan polemik yang tidak perlu.
Isu kurang penting
Mutakhir ini, kiblat perbincangan masyarakat samada secara sengaja atau tidak dihalakan kepada isu-isu kurang penting yang akhirnya hanya memberi peluang kepada penunggang-penunggang sentimen agama dan perkauman mengambil kesempatan.
Menteri-menteri PH perlu belajar daripada kesilapan kerajaan lama. Terlajak perahu boleh diundur lagi, tetapi jika terlajak buat pengumuman nanti terpaksa buat pusingan U yang memalukan.
Namun begitu, saya begitu yakin rakyat Malaysia cukup matang untuk tidak kembali memilih Umno untuk menerajui negara.
Meskipun Umno dan PAS giat meniup seruling perkauman atas nama melayu dan Islam, tetapi rakyat Malaysia sudah cukup faham untuk tidak terbuai dengan irama sumbang ini.
Ini arus pemikiran baharu yang sedang melanda dunia. Walaupun sentiasa ada pihak berkepentingan yang tidak jemu-jemu menunggang sentimen kaum dan agama, tetapi masyarakat sudah cukup terbuka untuk membuat penilaian yang adil dan bijak.
Inilah yang mendorong kemenangan PH pada 9 Mei 2018 dan kemenangan selesa Jokowi di Indonesia.
Akhirnya rakyat akan melihat siapa yang mampu mengangkat nilai kehidupan mereka, siapa yang boleh meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, siapa yang boleh memberi lebih banyak peluang kerjaya, siapa yang boleh menawarkan lebih banyak biasiswa pendidikan, dan siapa yang boleh memimpin dengan jujur tanpa rasuah dan penyelewengan.
Inilah yang perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh PH. Berhentilah dengan jenaka kereta terbang dan lain-lain isu yang hanya meningkatkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
Rakyat tidak akan kembali kepada Umno semata-mata kerana sentimen Melayu kerana rakyat cukup tahu peluang itu sudah Umno miliki selama lebih 60 tahun.
Tambahan lagi dengan segala kepincangan urus tadbir negara yang menyaksikan harta awam disalah guna demi kepentingan individu tertentu.
Tak perlulah berbicara tentang PAS.
PAS wajar menyelesaikan terlebih dahulu hutang percetakan akhbar rasmi mereka sebelum mereka berbicara tentang cita-cita menakluki Putrajaya.
AHMAD SYUKRI CHE AB RAZAB
Ulasan
Catat Ulasan