Skandal 1MDB-Tanore: Akaun dibeku atas dakwaan dana 1MDB, Umno P Pinang beritahu mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak hari ini yang akaun bank bahagian itu dibekukan atas dakwaan wang yang diterima daripada dana kekayaan berdaulat itu.
Ketua Umno Bahagian  Batu Kawan, Mohd Noor Ahmad berkata demikian apabila disoal peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Ditanya jika kerajaan cuba mendapatkan semula wang itu melalui saman pelucuthakan, Ahmad berkata tidak.Katanya, beliau dan ahli lain di bahagian itu tidak didakwa di bawah undang-undang pengubahan wang.
“Saya tidak dimaklumkan saya akan didakwa.”
Najib dikatakan memberi RM100,000 kepada Umno Bahagian Batu Kawan melalui akaun AmBank beliau pada 7 Ogos 2013. Wang itu didakwa adalah hasil kegiatan haram.
Bekas perdana menteri itu berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September tahun lalu atas dakwaan memasukkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Ahmad berkata, beliau menemui Najib di Pejabat Perdana Menteri pada 6 Ogos 2013 dan memberitahu bekas perdana menteri itu bahagian berkenaan kekurangan dana.
“Beliau kemudian menulis dan menandatangani sekeping cek kepada Umno Batu Kawan.”
Katanya, bahagian itu memerlukan dana untuk menjalankan program komuniti di Batu Kawan.
Bekas setiausaha politik Najib, Wong Nai Chee yang turut memberi keterangan hari ini berkata RM246,000 dibayar kepada ahli perniagaan, Lim Soon Peng yang bertindak sebagai orang tengah antara Najib dan 2 syarikat – AD Network serta Akademi Kewartawanan dan Informasi Taima.
Wong yang juga ahli MCA berkata, AD Network dibayar untuk mengendalikan laman Facebook berbahasa Cina bagi Najib yang dikenali sebagai “Ah Gib Jor”, manakala Akademi Kewartawanan dan Informasi Taima dibayar untuk menghasilkan satu penerbitan berbahasa Cina.
“Beliau mahu menonjolkan pandangan seimbang dasar kerajaan kepada orang Cina sebelum pilihan raya umum 2013.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

9 ahli Parlimen PKR keluar parti, PH

Skandal 1MDB: Penyelesaian Goldman Sachs - Ganti rugi yang merugikan

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA