Skandal 1MDB-Tanore: Bekas CEO 1MDB anggap AS$576,943,490 kepada Aabar dipersetujui Najib
Dapatkan pautan
Facebook
X
Pinterest
E-mel
Apl Lain
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari
ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak
pernah mempersoalkan siapa yang menentukan jumlah pembayaran deposit
sekuriti sebanyak AS$576,943,490 kepada Aabar Investment PJS Limited
kerana menganggap ia telah dipersetujui Najib Razak. Shahrol
Azral, 49, ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau telah
menandatangani borang pengiriman wang berjumlah AS$576,943,490 yang
dikemukakan oleh Terence Geh (pengarah 1MDB) tanpa rasa curiga untuk
dibayar ke akaun Aabar Investment PJS Limited di BSI Bank SA, Lugano,
Switzerland daripada akaun Falcon Private Bank (Hong Kong) milik
syarikat 1MDB Energy Limited (1MEL) sepertimana yang dibentangkan peguam
1MDB, Jasmine Loo.
"Namun segala aspek 'fund raising'
(pengumpulan dana) dan jaminan International Petroleum Investment Co
(IPIC) ini dilakukan dengan sokongan penuh IPIC dan Najib melalui pihak
Aabar (Mohamed Huseinny) dan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low
Taek Jho) serta Jasmine Loo.
"Saya
tidak tahu siapa yang menentukan jumlah pembayaran AS$576,943,490 (wang
deposit sekuriti) itu yang pada pendapat saya adalah sangat besar jika
dibandingkan dengan jumlah keseluruhan bon yang diterbitkan sebanyak
AS$1.75 bilion. Ia juga tidak pernah dibentangkan dan tidak pernah
dimaklumkan kepada saya dan saya percaya ia juga tidak pernah
dibentangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD).
"Namun, saya
tidak curiga dan tidak mempersoalkannya kerana pada masa itu saya
menganggap ini adalah sesuatu yang sudah dipersetujui oleh Najib dan
pihak IPIC, berdasarkan pelan tindakan dan perbincangan saya dengan Jho
Low," katanya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan
Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib membabitkan dana
1MDB.
Saksi pendakwaan kesembilan itu memaklumkan bahawa beliau
juga percaya bahawa wang deposit sekuriti itu akan dikembalikan semula
kepada syarikat apabila tawaran awam permulaan (IPO) bagi perniagaan
tenaga anak syarikat 1MDB dibuat untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala
Lumpur.
"Walau bagaimanapun, saya dapati wang deposit sekuriti
tersebut tidak pernah dikembalikan semula kepada syarikat walaupun tiada
sebarang IPO berjaya dibuat," jelasnya.
Saksi itu turut
mengesahkan penyata bank bagi akaun semasa 1MDB Energy Limited di Falcon
Private Bank bernombor 8009830 bagi Mei dan Jun 2012.
"Transaksi
kemasukan berjumlah US$907,500,000 pada 22 Mei 2012 adalah sebahagian
daripada bon berjumlah US$1.75 bilion yang telah diterbitkan bagi tujuan
pengambilalihan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB). Setahu saya,
transaksi ini dibuat oleh Bank of New York (BNY) Mellon London terus ke
dalam akaun 1MDB Energy Limited.
"Pada tarikh sama (22 Mei 2012),
1MDB Energy Limited telah membuat transaksi pengeluaran berjumlah
US$576,943,490 yang merujuk kepada pembayaran kepada Aabar Investments
PJS Limited melalui remittance wang yang dirujukkan kepada saya,"
katanya.
Shahrol Azral berkata beliau juga telah menandatangani
perjanjian Collaboration Agreement For Credit Enhancement antara 1MDB
Energy Limited dan Aabar Investment PJS Limited bertarikh 21 Mei 2012.
"Saya
ingin menjelaskan bahawa dokumen perjanjian itu disediakan oleh Jasmine
yang saya percaya telah mendapat pelepasan daripada Jho Low.
“Saya
telah tandatangani perjanjian ini bagi pihak 1MDB Energy Limited. Saya
tandatangani di muka surat terakhir dokumen ini," katanya ketika dirujuk
dokumen perjanjian itu oleh Sri Ram.
Saksi
penting pendakwaan itu menjelaskan bahawa rundingan jaminan bon dari
IPIC ini adalah amat kompleks dan melibatkan perhubungan kerajaan dengan
kerajaan atau 'G2G' antara Abu Dhabi dan Malaysia.
"Tambahan
pula rundingan ini juga melibatkan hubungan peribadi antara Putera
Mahkota Abu Dhabi dan Najib. Maka apabila Jasmine memaklumkan saya
mengenai Credit Enhancement ini, saya tidak curiga dan tidak meminta
untuk memeriksa segala terma yang melibatkan pembayaran tersebut.
"Jasmine
juga tidak memberi apa-apa butiran kandungan perjanjian-perjanjian
tersebut. Inilah perjanjian yang memberi justifikasi remittance kepada
Aabar Investments PJS Limited," katanya.
Shahrol Azral menjelaskan
bahawa semasa perjanjian itu ditandatanganinya pada 21 Mei 2012
mewakili 1MEL dengan pihak Aabar Investment PJS Limited, beliau yakin
untuk memeterai perjanjian usahasama dengan anak syarikat IPIC, iaitu
Aabar kerana berdasarkan nama syarikat ia tidak menunjukkan perbezaan
yang sangat ketara.
"Ini adalah kerana alamat yang ditunjukkan
dalam perjanjian ini adalah alamat Aabar yang tepat iaitu Tingkat 12,
Bangunan Kementerian Tenaga, Jalan Corniche, PO Bx 107888, Abu Dhabi,
Emiriah Arab Bersatu. Saya pernah ke alamat ini untuk berurusan dengan
pihak IPIC dan Aabar yang sah. Jadi ia menggunakan alamat IPIC dan Aabar
yang sah.
"Singkatan
yang digunakan dalam perjanjian ini pula adalah 'Aabar Investments'.
Jadi, saya langsung tidak menyedari bahawa ia adalah merupakan syarikat
berlainan iaitu Aabar Investments PJS (British Virgin Islands (BVI).
Selepas kecoh terdapat isu 1MDB melibatkan syarikat Aabar barulah saya
perasan bahawa terdapat perbezaan Aabar sebenar dengan Aabar yang
berpangkalan di BVI ialah perkataan di belakang sahaja iaitu Limited,”
katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana
1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang
yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat
kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan,
Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala
bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos
2013, di tempat yang sama.
PETALING JAYA: Seramai 9 ahli Parlimen PKR, termasuk 2 menteri persekutuan mengumumkan keluar parti dan Pakatan Harapan, beberapa minit selepas pemecatan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin. Mereka menerusi satu kenyataan berkata, blok bebas akan dibentuk di Parlimen yang turut disertai Azmin (Gombak) dan Zuraida (Ampang) yang mengisytiharkan keluar daripada PH. Sembilan wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Menteri Kerja Raya, Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). Semua 11 ahli Parlimen ini bersekutu dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang baru menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Azmin dan Zuraida antara pemimpin PKR yang menemui ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, M...
Ganti rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara. Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Muyhiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz. Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018. Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Najib Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata. Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas Goldman Sachs ini adalah kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden PAS merangkap duta khas bertaraf men...
Hari ini barangkali merupakan hari yang benar-benar menggembirakan buat Rafizi Ramli. Ini berikutan beliau kini bebas sepenuhnya daripada beban perundangan setelah Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan pembebasannya di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan atau BAFIA. “Pagi ini Peguam Negara melalui Timbalan Perdakwa Raya (DPP) telah menarik balik notis rayuan yang difailkan sebelum ini. Notis rayuan itu telah ditandatangani oleh Tommy Thomas sendiri (Peguam Negara). “Ini bermakna keputusan melepaskan dan membebaskan Rafizi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu adalah kekal. Kini Rafizi lepas dan bebas sepenuhnya,” jelas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid. Begitu pun, kegembiraan bekas Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu tentunya tidak dikongsi sepenuhnya oleh penyokong-penyokong beliau dalam PKR serta mereka yang rasa terhutang budi dengan banyak sumbangannya selama ini dalam usaha menumbangkan UMNO dan BN. Rat...
Ulasan
Catat Ulasan