Skandal 1MDB-Tanore: ‘Lebihan bayaran deposit sekuriti AS$790,354,855 masuk ke akaun Najib’
Dapatkan pautan
Facebook
X
Pinterest
E-mel
Apl Lain
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa lebihan
bayaran deposit sekuriti berjumlah AS$790,354,855.00 kepada Aabar
Investment PJS Ltd (Aabar) yang dibayar oleh 1MDB dimasukkan ke akaun
milik Najib Razak untuk tujuan penyelewengan.
Bekas Ketua Pegawai
Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa
membacakan pernyataan saksinya pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib
membabitkan dana 1MDB.
“Kesimpulannya, pengambilalihan Genting (Genting Sanyen) telah selesai melalui pembiayaan menggunakan bridging loan berjumlah RM700 juta dan terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion.
“Saya akui memang terdapat lebihan yang sangat banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun
saksi pendakwaan kesembilan menegaskan bahawa beliau langsung tidak
tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan
berjumlah AS$790,354,855 kepada Aabar adalah untuk diseleweng oleh pihak
lain.
“Pembayaran deposit sekuriti itu dibuat secara penuh
percaya berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam
1MDB) Terence Geh (Pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai
Eksekutif Goldman Sachs Asia).
"Setelah penyiasatan dilakukan
barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low
(ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) untuk membolehkan wang 1MDB
masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan
yang seterusnya dimasukkan ke akaun milik Najib.
"Sekali lagi,
Jasmine Loo sebagai pegawai yang dipertanggungjawabkan, telah datang
kepada saya untuk membentangkan dapatan dan dokumen yang banyak bagi
menunjukkan aspek teknikal kewangan dan proses pelaburan sepertimana
sebelum ini, pemerolehan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB).
"Beliau
menunjukkan dokumen yang meyakinkan saya bahawa 1MDB perlu membayar
kepada Aabar Investment PJS Ltd sebanyak AS$790,354,855 yang ditanggung
melalui lebihan terbitan Bon AS$1.75 bilion sebagai deposit keselamatan
kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) yang merupakan
penjamin bon tersebut,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan
Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram.
Saksi penting pendakwaan itu
berkata itu merupakan tindakan yang sama sepertimana beliau menyatakan
alasan dalam remittance TEHSB sebelum ini yang 1MDB perlu lagi sekali
membayar deposit keselamatan kepada anak syarikat IPIC iaitu Aabar
sebagai cagaran dan akan dipulangkan semula selepas tawaran awam
permulaan (IPO).
Beliau berkata seperti transaksi TEHSB sebelum
ini, beliau beranggapan yang bayaran itu sudah dipersetujui oleh dua-dua
belah pihak iaitu IPIC dan pemilik saham 1MDB dan Perdana Menteri iaitu
Najib.
“Ini adalah kerana rundingan jaminan ini diterajui oleh
PMO. Kemudiannya, saya telah dimaklumkan oleh Jasmine Loo bahawa dokumen
remittance yang berjumlah AS$790,354,855 telah ditandatangani oleh
Terence Geh dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, untuk
dibayar ke akaun Aabar Investment PJS Ltd di BSI Bank SA, Lugano,
Switzerland daripada akaun Falcon Private Bank (Hong Kong) milik
syarikat 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) (anak syarikat 1MDB).
“Sekali
lagi, saya tidak tahu siapa yang menentukan jumlah pembayaran
AS$790,354,855 tersebut yang pada pendapat saya adalah sangat besar jika
dibandingkan dengan jumlah keseluruhan Bond yang diterbitkan sebanyak
AS$1.75 bilion bagi pembelian IPP Genting Sanyen.
“Namun, saya
tidak curiga dan tidak mempersoalkannya kerana pada masa itu saya
menganggap ini adalah sesuatu yang sudah dipersetujui oleh Najib dan
pihak IPIC, berdasarkan pelan tindakan dan perbincangan saya dengan Jho
Low,” katanya.
Shahrol Azral berkata beliau juga percaya pada masa
tersebut bahawa wang deposit keselamatan berkenaan akan dikembalikan
semula kepada syarikat apabila IPO bagi perniagaan tenaga syarikat
dibuat untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE).
Katanya
walaubagaimanapun, wang tersebut tidak pernah dikembalikan semula
kepada syarikat walaupun setelah 1MDB gagal melaksanakan penyenaraian
perniagaan tenaga ke KLSE.
Saksi itu berkata bayaran AS$790,354,855 kepada Aabar Investments PJS Limited dibuat pada 19 Okt 2012.
Beliau
berkata proses pengambilalihan Genting, pada pandangannya dibuat dalam
keadaan sangat tergesa-gesa jika dibandingkan dengan pengambilalihan
TEHSB.
Katanya semua kelulusan hanya melalui Director Circular
Resolution (DCR) tanpa dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga
Pengarah (BOD) 1MDB.
“Keadaan tergesa-gesa ini disebabkan tekanan
Jho Low yang menyatakan pinjaman dan jaminan daripada pihak IPIC ini
harus disegerakan kerana ada faktor kerjasama G2G (kerajaan dengan
kerajaan) dan juga mesti diselesaikan sebelum PRU ke-13 untuk memastikan
cukup perhatian daripada Najib sebelum beliau akan sibuk berkempen.
"Selepas
daripada itu, saya telah dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan
Pelaksanaan (Pemandu) dan jawatan CEO telah diambil alih oleh Hazem
Abdul Rahman.
"Saya tidak tahu menahu secara terperinci kenapa
opsyen Aabar telah ditamatkan kerana saya tidak lagi terlibat secara
langsung dalam sebarang perbincangan dan urusan pihak terbabit. Walau
bagaimanapun, saya hanya tahu maklumat ini secara am sahaja melalui
media,” katanya.
Shahrol Azral dilantik sebagai pengarah di Pemandu yang merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 15 Mac 2013.
Najib,
66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk
memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli
Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di
Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala
Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua
pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di
tempat yang sama. Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin
Lawrence Sequerah.
PETALING JAYA: Seramai 9 ahli Parlimen PKR, termasuk 2 menteri persekutuan mengumumkan keluar parti dan Pakatan Harapan, beberapa minit selepas pemecatan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin. Mereka menerusi satu kenyataan berkata, blok bebas akan dibentuk di Parlimen yang turut disertai Azmin (Gombak) dan Zuraida (Ampang) yang mengisytiharkan keluar daripada PH. Sembilan wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Menteri Kerja Raya, Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). Semua 11 ahli Parlimen ini bersekutu dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang baru menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Azmin dan Zuraida antara pemimpin PKR yang menemui ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, M...
Ganti rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara. Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Muyhiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz. Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018. Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Najib Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata. Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas Goldman Sachs ini adalah kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden PAS merangkap duta khas bertaraf men...
Hari ini barangkali merupakan hari yang benar-benar menggembirakan buat Rafizi Ramli. Ini berikutan beliau kini bebas sepenuhnya daripada beban perundangan setelah Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan pembebasannya di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan atau BAFIA. “Pagi ini Peguam Negara melalui Timbalan Perdakwa Raya (DPP) telah menarik balik notis rayuan yang difailkan sebelum ini. Notis rayuan itu telah ditandatangani oleh Tommy Thomas sendiri (Peguam Negara). “Ini bermakna keputusan melepaskan dan membebaskan Rafizi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu adalah kekal. Kini Rafizi lepas dan bebas sepenuhnya,” jelas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid. Begitu pun, kegembiraan bekas Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu tentunya tidak dikongsi sepenuhnya oleh penyokong-penyokong beliau dalam PKR serta mereka yang rasa terhutang budi dengan banyak sumbangannya selama ini dalam usaha menumbangkan UMNO dan BN. Rat...
Ulasan
Catat Ulasan