Bapa Altantuya: SD Azilah peluang Malaysia bersihkan nama
Bapa kepada Altantuya warga Mongolia yang dibunuh, Setev
Shaariibuu melihat pendedahan mengejutkan oleh bekas polis yang menunggu
hukuman mati, Azilah Hadri pada hari ini sebagai peluang untuk Malaysia
membersihkan namanya.
Dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini,
Shaariibuu berkata beliau kini dimasukkan ke hospital kerana keadaan
kesihatan tetapi sedar mengenai SD Azilah yang mengaku telah membunuh
Altantuya pada tahun 2006 selepas didakwa mendapat arahan daripada Najib
Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri.
"Ini peluang
pihak berkuasa Malaysia sekarang untuk membersihkan nama negara di
peringkat antarabangsa sekiranya mereka dapat segera mengambil tindakan
susulan berhubung pendedahan ini," kata Shaariibuu dari Ulaanbataar,
Mongolia."Kami berharap pendedahan terkini ini dapat mempercepatkan kebenaran dan membantu keluarga saya menuntut keadilan untuk anak perempuan saya, yang telah meninggalkan kami dengan tiba-tiba secara tidak adil, 13 tahun lalu," katanya.
"Saya akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci mengenai perkara ini dalam beberapa hari lagi," kata Shaariibuu.
Azilah, bekas pengawal peribadi Najib, didapati bersalah membunuh Altantuya bersama seorang lagi anggota pasukan elit polis, Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar, yang kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney, Australia.
Sirul Azhar kekal di pusat tahanan Villawood kerana Australia enggan menghantarnya pula disebabkan dasar menentang hukuman mati yang mana bekas anggota UTK itu telah disabitkan kesalahan membunuh di Malaysia.

Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang juga rakan rapat Najib, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.
Najib
dan Abdul Razak telah menafikan kandungan SD Azilah, dengan bekas
perdana menteri menggambarkannya sebagai "rekaan semata-mata."
Walaupun
Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan terhadap Azilah dan Sirul pada Ogos
2013, namun Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 telah mengembalikan
keputusan bersalah terhadap mereka.Shariibuu menyaman kerajaan Malaysia, Najib, Abdul Razak dan dua bekas anggota UTK polis itu atas pembunuhan Altantuya.
Ulasan
Catat Ulasan