Pecah Amanah Dan Rasuah: Syarikat proses visa keluar cek RM1j sebagai dana politik TPM - Saksi

Nama syarikat pemprosesan visa Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) yang terpalit kes saman sivil bulan lalu, timbul dalam perbicaraan kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi melibatkan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Mahkamah diberitahu syarikat itu membayar tiga cek berjumlah RM2 juta kepada firma guaman Lewis & Co bertarikh antara Julai 2017 hingga Februari 2018), dua daripadanya untuk tujuan “kebajikan”, masing-masing bernilai RM300,000 dan RM700,000.
Manakala satu lagi cek, juga dibayar ke firma sama adalah untuk tujuan “dana politik kepada TPM (timbalan perdana menteri)”, bernilai RM1 juta.
Mahkamah diberitahu hal itu ketika pemeriksaan balas terhadap saksi ke-26, Harryade Mohamad Arbe oleh peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik.
Ini
susulan Harryade, dalam pernyataan saksinya, membuat pengecaman
terhadap ketiga-tiga cek Maybank dari PRSB yang bernilai dan bertarikh
sama dengan cek yang dibangkitkan Hisyam.
Harryade merupakan Penolong Pengurus Cawangan Maybank. Semasa menjawab soalan tambahan oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Harryade menganggap Lewis & Co sebagai sebuah “pejabat peguam bela dan peguam cara”, namun mengaku tidak mempunyai pengetahuan tentang tujuan transaksi ketiga-tiga cek tersebut.
Dalam pemeriksaan balas pula, Harryade bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa dia “tidak boleh untuk menafikan” sekiranya cek-cek yang dikeluarkan itu adalah untuk kebajikan, memandangkan dia tidak mempunyai pengetahuan berkenaan hal itu.
Hisyam kemudiannya merujuk Harryade kepada tiga salinan keratan cek, yang mempunyai nombor sama dengan cek yang disebutnya dalam pernyataan saksinya, sebelum memintanya membacakan “tujuan” yang tertera pada cek, serta kepada siapa ia dibayar.
Dua daripada cek tersebut (RM300,000 dan RM700,000) dibayar untuk tujuan “kebajikan” (charity), manakala satu daripadaya (RM1 juta) dibayar untuk tujuan “dana politik kepada TPM” (political fund to TPM). Ketiga-tiganya dibayar kepada Lewis & Co.
Hisyam: Bermakna, tujuan cek ini, kedua-duanya adalah untuk kebajikan, jika mengikut salinan ini?
Harryade: Ya.
Hisyam: Dan saya katakan ini adalah kebajikan Islam (Islamic charity), bayar kepada Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi. Tahu tak tahu?
Harryade: Tak tahu.
Sementara itu, bagi keratan cek ketiga (dana politik), Harryade bersetuju dengan Hisyam, meskipun cek itu menyatakan dana politik untuk TPM, tetapi ia dibayar kepada Lewis & Co.
Harryade turut bersetuju ketiga-tiga cek tersebut melibatkan transaksi terbuka, bermakna pembayaran kepada firma guaman itu akan direkodkan dan rekodnya boleh diperiksa oleh juruaudit.
Pada 27 November, seorang pengarah PRSB memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Ahmad Zahid menerima RM2 juta sebagai rasuah daripadanya untuk membolehkan syarikatnya dilantik mengendalikan perkhidmatan One Stop Centre (OSC) visa di Nepal dan Pakistan.
Pengarah tersebut, Azlan Shah Jaffril, turut memberitahu mahkamah bahawa beliau akan menjadi saksi pendakwaan dalam kes rasuah Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan.
Ulasan
Catat Ulasan