Skandal 1MDB: Saman masih belum serah, sebutan kes Goldan Sachs 14 Jan
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya, semasa kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu pemberita, penyerahan notis saman oleh pihak pendakwaan terhadap Goldman Sachs (Singapore) masih dalam proses.
“Sehubungan itu mahkamah menetapkan 14 Jan depan untuk sebutan, bagi mengetahui status penyerahan notis saman tersebut terhadap Goldman Sachs (Singapore),” katanya.
Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan, untuk memindahkan kes membabitkan Goldman Sachs (Singapore) ke Mahkamah Tinggi.
Pada 16 Dis lepas, hakim Mohamed Zaini membenarkan kes sama membabitkan Goldman Sachs International Ltd, yang berpangkalan di UK dan Goldman Sachs (Asia) LLC berpangkalan di Hong Kong, dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.
Pada Disember tahun lepas, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs, kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan, antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012, dan 11 Nov 2013.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota jaminan dan bon yang sama, dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.
Ulasan
Catat Ulasan