Khianat Mandat: Amalan sogok jawatan menajiskan falsafah dan dunia politik negara

Apabila kerajaan dibentuk tidak stabil, berkeadaan seperti telur di hujung tanduk, maka mengelabahlah sang ketuanya. Apa sahaja akan dilakukan untuk memastikan kuasa dan kerajaan kekal. Ini termasuklah dengan memberi jawatan kepada wakil rakyat sebagai tali penambatnya. Fenomena ini sedang rancak berlaku sekarang.
Tanpa disedari amalan politik begitu sesuatu yang membahaya dan perlu dibendung oleh semua yang mengharapkan kejernihan dalam politik. Kita tidak mahu apa yang berlaku sekarang menjadi satu pengharapan kepada wakil-wakil rakyat apabila mereka menang, mereka akan diberikan ganjaran tambahan sebegitu. Paling parah ia menjadi satu kemestian pula wakil rakyat diberikan jawatan berelaun besar sedangkan jawatan itu boleh diisi golongan professional.
Cara demikian juga menyebabkan golongan profesional yang sebelum itu menimba pengalaman dalam kerajaan atau swasta, tidak dihargai kerana semata-mata untuk mendapat sokongan peribadi individu tertentu ia diabaikan.
Politik begitu juga sangat kotor ia boleh menodai falsafah politik itu sendiri. Matlamat menghalalkan cara tidak sepatutnya diamalkan sesudah kita merdeka lebih setengah abad. Politik perhambaan, politik ugut mengugut, ancam mengancam sepatutnya sudah pun berhenti. Berbagai akta berhubung penyalahgunaan kuasa, moral, dan sebagainya yang digubal tidak membawa apa-apa faedah kalau politik terus babil dengan cara jelek begitu.
Apa lagi politik kebendaan begitu sepatutnya sudah tidak berlaku lagi. Barang kali semua orang bersetuju dengan pandangan ini dan perlu berbuat sesuatu agar ia tidak merebak. Tidak ada guna kita memegang kuasa, jadi perdana menteri tetapi kita telah melahirkan cara berpolitik yang menajiskan dunia politik itu sendiri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar