Skandal 1MDB: Najib tak minta saya pilih antara 2 penyata 1MDB yang bercanggah - Ambrin
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Abdul Razak tidak pernah meminta bekas ketua audit negara Ambrin Buang memilih antara dua penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan 2014 yang bercanggah antara satu sama lain.
Ambrin sebagai saksi keenam memberi keterangan bahawa dia tidak diberitahu perkara itu oleh Najib semasa mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 22 Februari 2016.
Ia berlaku dua hari sebelum mesyuarat yang didakwa membawa kepada keputusan menggugurkan beberapa perkara yang berpotensi menjadi kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.
Antara bahagian yang dikatakan dibuang daripada laporan itu adalah isu percanggahan dua penyata kewangan bagi tahun 2014.
Ambrin berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, semasa soal balas dalam prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.
Shafee: Adakah perdana menteri kata terdapat dua penyata kewangan untuk tahun yang sama (2014), dan dia lebih suka A berbanding B?
Ambrin: Tidak, dia tak cakap macam itu.
Najib dituduh menggunakan kedudukan untuk mengarahkan pindaan laporan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, yang ketika itu presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB, dituduh bersubahat.
Kedua-dua mereka dituduh bawah Seksyen Section 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak lebih lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Ulasan
Catat Ulasan