KENAPA ANNUAR MUSA ASYIK MERATIB ‘NO ANWAR NO DAP’ SEDANGKAN YANG MAHU ‘BUNUH’ UMNO ADALAH BERSATU?

Setiap kali ada ura-ura Anwar Ibrahim akan mengambil alih teraju kerajaan, baik melalui usul di Parlimen atau sokongan SD, selain Tun Mahathir Mohamad yang diketahui cukup bimbang dengannya, barangkali yang turut diresapi penyakit yang sama ialah Annuar Musa.

Lihat saja reaksinya setiap kali isu berkenaan timbul, pasti beliaulah yang dilihat paling susah hati, mengelabah, begitu cepat mengeluarkan kenyataan dan seolah-olah berpeluh dingin di seluruh badannya.

Oleh kerana usaha pengambil alih kerajaan itu diperkatakan mengaitkan sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO, Annuar yang merupakan Setiausaha Agung BN akan segera tampil mengingatkan tentang prindip “No Anwar, No DAP”.

Rasanya sejak sembilan bulan lalu, sudah lebih 10 kali Annuar tampil memberi peringatan berkaitan “No Anwar, No DAP” itu.

Kenapa hanya Annuar yang risau, bimbang dan mengelabah, sedangkan Ahli Parlimen UMNO yang lain, termasuk yang sama memegang jawatan menteri sepertinya nampak relaks saja?

Malah Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan pun kelihatan senyap saja?

Apa yang Annuar bimbang dan ingin pertahankan?

Adakah prinsip dan pegangan UMNO yang ingin dipertahankannya atau nasib Muhyiddin Yassin yang bakal jatuh lebih dibimbanginya?

Atau Annuar begitu sayang dengan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang dipegangnya sekarang?

Semalam, apabila sekali lagi timbul isu mengenai adanya sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO dalam bentuk SD kepada Anwar, Ahli Parlimen Ketereh itu sekali lagi tampil bersuara.

Kali ini selain meratib lagi tentang “No Anwar, No DAP”, bellau juga menggesa Ahli Parlimen UMNO yang dikaitkan memberi sokongan dalam bentuk SD kepada Anwar itu agar segera berterus-terang atau membuat laporan polis jika ianya bukan suatu kebenaran.

Malah beliau juga menegaskan, mereka yang berbuat demikian perlu keluar parti kerana melanggar ketetapan yang telah diputuskan sebelum ini.

Ternampak di sini Annuar semakin ketakutan dan mula meraban, sedangkan beberapa Ahli Parlimen yang dikaitkan itu semacam santai saja sambil membuat penafian.

Dalam hal ini, Muhyiddin yang bakal jatuh dan pemimpin Bersatu yang pasti tergolek sama jika Perdana Menteri hilang kuasa pun tidak kelihatan mengelabah seperti Annuar.

Apabila Annuar terlalu kerap tampil bersuara dengan nada yang sama dan dilihat keinginannya hanya untuk mempertahankan Muhyiddin, maka banyaklah kedengaran suara-suara dalam UMNO sendiri yang tidak setuju dengannya.

Kata mereka, kenapa dalam isu lain yang melibatkan UMNO, Annuar hanya membisu saja, tetapi begitu pantas bersuara bila saja dalam perkara yang terkait dengan kedudukan Muhyiddin?

Lantaran ada yang bertanya, sebagai Ahli Parlimen UMNO, apakah keutamaan beliau – masa depan parti atau masa depan Muhyiddin?

Sebenarnya jika Annuar sedar tentang kedudukan dan masa depan UMNO sekarang, pihak yang ingin menelan serta membunuh parti itu bukanlah Anwar atau DAP, tetapi Muhyiddin dan Bersatu.

Jadi, kenapa takut untuk bersama Anwar dan DAP?

Mengapa beliau tidak takut dengan Muhyiddin dan Bersatu yang survival kedua-duanya bukan saja bergantung kepada lemahnya UMNO, bahkan mereka akan lebih selamat jika UMNO dapat “dimatikan” dengan segera?

Apakah Annuar lebih rela melihat UMNO “mati”, asalkan Muhyiddin, Bersatu dan dirinya terus bernyawa?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar