Muhyiddin patut letak jawatan jika hilang sokongan majoriti
KUALA LUMPUR: Tan Sri
Muhyiddin Yassin wajar meletak jawatan atau memohon untuk pembubaran
Parlimen jika benar 10 Ahli Parlimen (MP) UMNO telah beralih arah dengan
menyokong atau menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Dr Achmad Dzariean Mohd
Nadzri menegaskan, Perdana Menteri secara automatiknya sudah hilang
kepercayaan di kalangan ahli Dewan Rakyat dan perlu meletak jawatan jika
mana-mana pihak berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti
sokongan.
"Jika
keadaan ini berlaku, katakanlah ada lima atau enam Ahli Parlimen, atau
mungkin 10, atau apa sahaja bilangan, yang sudah menandatangani SD,
menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri, maka Muhyiddin sebenarnya
sudahpun kehilangan majoriti beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan
Rakyat.
"Perkara ini harus dibawa ke
pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon perkenan Baginda bagi membubarkan
Parlimen," kata felo penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia,
Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Ini
kerana, katanya, apabila seorang Perdana Menteri itu hilang kelayakan,
ia bermakna, beliau sudah hilang sokongan, maka Parlimen sudah tidak
lagi mempunyai suara majoriti.
"Maka,
wajarlah diberi laluan kepada pembubaran Parlimen untuk menentukan
siapakah pihak yang akan menjadi kerajaan pada masa akan datang,"
katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada
Ahad, Anwar dikatakan mendapat sokongan daripada 10 MP UMNO termasuk
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin
dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu dan mendapat
majoriti tipis selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dengan
peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari.
Justeru,
mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong
boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik seseorang sebagai
Perdana Menteri.
Bagaimanapun, baginda
hendaklah memastikan individu dilantik mendapat sokongan majoriti
perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen seperti dalam Perkara 43 (2)
(a).
Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan
Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan
Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk
membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.
Apabila
Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan
Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya kepada
beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat.
Sekiranya
undi tidak percaya menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat
sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak
jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Namun,
mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan
Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen.
Baginda mempunyai budi bicara tidak membubarkan Parlimen walaupun dinasihati Perdana Menteri.
Kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Ulasan
Catat Ulasan