Bisnes monopoli tapi gaji setara dunia

SEBULAN RM85,000. Itu gaji sebulan pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Abdullah Ahmad atau empat kali gaji pokok Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bukan Abdullah seorang yang ada gaji sebanyak itu. Ketua-ketua suruhanjaya yang lain pun ada bahagian masing-masing. Mereka yang di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) apatah lagi, dapat lebih banyak lagi.
Semua ini terdedah hanya selepas kerajaan berubah pada 9 Mei. Tetapi ini sudah terlalu lama berlaku, terutamanya dalam agensi dan syarikat kerajaan yang bukan dalam bidang berdaya saing.
Dalam kes Mavcom, gaji itu kini dibiayai penuh oleh orang ramai yang menggunakan lapangan terbang kerana mereka dikenakan bayaran RM1 bagi setiap penerbangan keluar dari mana-mana lapangan terbang komersial di Malaysia.
Untuk itu, peranan Mavcom ialah mengurus dan mengendalikan sektor penerbangan komersial di Malaysia. Setakat ini, peranan mereka tidak dirasai selain daripada mengambil RM1 daripada setiap penumpang, dengan anggaran tahunan mencecah RM35 juta.
Itu adalah satu daripada petunjuk pencapaian prestasinya. Duit dapat, habis kerja. Begitulah keadaannya sejak Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih daripada Dr Mahathir pada 2003.
Tidak ada salahnya, gaji yang setara dengan prestasi. Tetapi ia jadi isu apabila gaji yang tinggi ini adalah untuk pengawal atur dan syarikat milik kerajaan yang mempunyai monopoli di Malaysia.
Apa sebabnya pengerusi Mavcom dapat gaji sebanyak itu? Atau mana-mana suruhanjaya lain, seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan baru-baru ini? Tidakkah tangga gaji mereka sewajarnya telus sama seperti gaji Jemaah Menteri? Apatah lagi, ini semua dana awam.
Dan untuk semua GLC ini, wajarkah pengurus dan eksekutif atasan mereka dapat gaji tinggi, malah sesetengah hampir sama dengan tangga gaji global sedangkan perniagaan mereka hanya di Malaysia? Adakah bisnes mereka begitu berdaya saing sehingga mereka perlu dibayar sebanyak itu?
Misalnya, berapa banyak bos di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat? Bukankah ia sebuah monopoli? Bagaimana dengan ketua Malaysian Airlines Berhad? Dua ekspatriat sebelum ini duduk di jawatan itu dan gajinya tentu lumayan. Adakah ketuanya yang baru juga dapat sebanyak itu atau adakah ia bergantung pada kejayaannya memulihkan syarikat penerbangan itu dan menyiapkannya untuk disenaraikan?
Bolehkah kita tahu? Atau adakah gaji itu rahsia?
Tiada siapa boleh iri dengan gaji orang lain. Apalagi kalau orang itu berani mengambil risiko. Tetapi setakat ini di Malaysia, hanya segelintir eksekutif tinggi di GLC atau agensi yang berani ambil risiko. Kebanyakannya hanya pengurus yang mengendalikan syarikat di pasaran tempatan dan dijamin pulangan yang lumayan.
Berikan ganjaran kepada pemberani terutamanya yang meneroka pasaran luar dan berjaya. Bukannya akauntan yang hanya bertenggek di atas kejayaan pemacu sebelumnya.
Ketua di Mavcom itu tidak layak dapat RM85,000 sebulan. Berdasarkan pencapaian sejak ia bermula pada 2016, 58 kakitangannya yang menelan belanja RM25 juta setahun pun tidak layak disimpan.
Mujurlah kerajaan Mahathir sedang menyemak semula gaji pengurus atasan di GLC, agensi serta badan berkanun.
Biarlah kita ada gaji yang realistik dan memberi ganjaran kepada mereka yang melakukan kerja melampaui jangkaan. Rendahkan kos, dan biar rakyat ada duit lebih banyak untuk dibelanjakan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar