Institut Integriti seru kerajaan lulus Akta Derma dan Perbelanjaan Politik segera

Ketua jawatankuasa perundingan kebangsaan mengenai pembiayaan politik berkata sekretariat yang ditubuhkan pada 2016 sudah menggubal 32 syor tetapi belum dapat kemukakan di Parlimen.

IIM berharap kerajaan baru akan mempercepatkan urusan ini kerana isu politik sangat penting bawah sistem baru.
KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (IIM) berharap draf Akta Derma dan Perbelanjaan Politik dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin berikutan pembentukan kerajaan persekutuan baru oleh Pakatan Harapan.
Ketua Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik Amerul Muner Mohammad berkata sebuah sekretariat yang ditubuhkan pada 2016 sudah menggubal 32 syor, tetapi belum dapat mengemukakan kepada Parlimen.
“Bagaimanapun, kami berharap kerajaan baru akan mempercepatkan urusan ini kerana isu politik sangat penting bawah sistem baru politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) hari ini.
Daripada beberapa badan penting, Kabinet melantik IIM sebagai sekretariat bagi urusan penyediaan draf akta itu sejak 2016, dan antara perkara disyorkan ialah keperluan menubuhkan sebuah badan bebas untuk memantau pembiayaan politik di negara ini bagi mengelak berlaku penyalahgunaan dana yang disalur melalui pembiayaan seperti itu.
Amerul Muner berkata sekretariat itu juga mengemukakan semua syor berkenaan kepada IRC dengan harapan jawatankuasa itu dapat menyemak serta menghalusinya dan menjadikannya undang-undang baru.
“Tiga puluh dua syor itu hanya berkaitan pembiayaan politik… kini, berdasarkan terma rujukan IRC, pembiayaan politik sahaja tidak memadai. Kami perlu mengkaji semula keseluruhan sistem (politik), termasuk peranan serta fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Parlimen,” katanya.
Pada 15 Mei, Majlis Penasihat Kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang mempunyai lima anggota.
Mereka terdiri daripada hakim bersara Mahkamah Rayuan Datuk KC Vohrah, hakim bersara Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, profesor undang-undang dan penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Datuk S Ambiga.
Jawatankuasa itu akan menyerahkan dapatan serta syornya kepada majlis berkenaan, yang kemudian akan mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Majlis itu berkata, pembaharuan ekonomi semata-mata tidak mampu membawa perubahan yang diinginkan melainkan turut diiringi pembaharuan institusi.
Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan pada 12 Mei bagi menasihati kerajaan tentang hal berkaitan ekonomi dan kewangan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu