Menteri pendidikan baharu fokus budaya, bukan dasar ubah sekolah

Menteri pendidikan baharu fokus budaya, bukan dasar ubah sekolah
Menteri Pendidikan baharu Dr Maszlee Malik berkata beliau mahu menukar cara kerja kementerian, sekolah dan universiti supaya dasar yang berkesan pada masa ini benar-benar dilaksanakan. 
KBSM, PPSMI, PBS. Ini antara sistem dan dasar yang terbengkalai dalam sistem pendidikan Malaysia, tinggalan deretan menteri pendidikan terdahulu dan Dr Maszlee Malik tidak mahu jadi begitu.
KBSM ialah akronim bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah yang digunakan pada 1990-an tetapi kemudian dihentikan, sementara PPSMI ialah dasar untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
PPSMI diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pada 2002 tetapi dihentikan pada 2009.
Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) disusun pada 2012 sebagai sistem penggredan baharu yang sepatutnya mengakhiri pembelajaran semula dan memperkenalkan lebih autonomi di sekolah.
Tetapi walaupun niatnya baik, ia menggandakan beban tugas guru kerana pelaksanaan yang tidak berkesan dan program itu dirombak pada 2014.
Dan kini, tidak seperti penyandang sebelumnya, Maszlee tidak akan memperkenalkan sistem atau dasar pendidikan yang kemudiannya nanti akan diabaikan apabila orang lain menjadi menteri.
Sebaliknya, beliau mahu menukar cara kerja kementerian, sekolah dan universiti supaya dasar yang berkesan pada masa ini benar-benar dilaksanakan dan institusi ini menghasilkan warga yang bijak dan berfikiran kritikal.
Dan untuk melakukannya beliau akan fokus kepada mencipta budaya berasaskan nilai yang diharapkannya akan menukar sekolah dan universiti menjadi institusi pilihan ibu bapa Malaysia.
“Daripada perkenalkan dasar baharu, saya mahu mencipta budaya kasih sayang, kegembiraan dan pengiktirafan bersama dalam sistem pendidikan kita. Jika saya bawa dasar baharu ia tidak akan jadi radikal,” kata Maszlee kepada The Malaysian Insight.
“Dalam tempoh setahun depan, kanak-kanak akan gembira untuk ke sekolah, ibu bapa akan berminat tentang pengajaran dan gembira melihat perkembangan anak mereka.”
Budaya berasaskan nilai juga salah satu daripada tiga perkara yang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahukan di sekolah.
“Dua lagi ialah pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi serta mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris.”
Maszlee juga tidak akan mengabaikan Pelan Induk Pendidikan Negara (PIPP) walaupun ia dicipta oleh pentadbiran terdahulu Barisan Nasional.
“Ia projek luar biasa dan sangat baik. Ia patut diteruskan kerana ia dasar yang baik,” kata bekas pensyarah pengajian Islam dan sains politik itu.
Dasar PIPP seperti mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris menerusi Program Dwibahasa (DLP) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) selaras dengan rancangannya.
“Saya juga akan melihat untuk memperkenalkan aspek pembelajaran secara eksperimen supaya kanak-kanak rasa seronok menerokai dunia, dan supaya mereka ada semangat sukarelawan dan pembabitan sivik.”
Untuk itu beliau akan memperkenalkan subjek sivik dan falsafah untuk pelajar sekolah menengah dan terutama sekali pelajar universiti.
Bagi mengembalikan keseronokan pembelajaran dan pengajaran, Maszlee melihat untuk menukar aspek persekitaran sekolah, ia termasuk mengecilkan saiz bilik darjah dan mengurangkan kertas kerja pentadbiran yang dihadapi guru.
“Akhirnya, budaya yang akan bertahan. Anda boleh bawa dasar yang hebat tetapi ia mungkin tidak dilaksanakan dengan sempurna. Tetapi jika anda semai tanamkan budaya, ia kekal selamanya.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu