Nilai HSR RM100 bilion termasuk faedah

PENILAIAN RM100 bilion oleh kerajaan bagi projek stesen Kereta Api Laju (HSR) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura adalah jumlah keseluruhan kos projek dan faedah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
"Ia hanya RM72 bilion jika kamu hanya lihat kepada kos projek. Tetapi jika termasuk komponen faedah, ia lebih tinggi daripada RM100 bilion," kata Lim.
Lim menjawab dakwaan oleh bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak bahawa penilaian kerajaan baharu terhadap projek HSR adalah tidak tepat.
Menerusi posting di Facebook semalam, Najib berkata nilai anggaran sebenar kos untuk HSR adalah RM40 bilion bagi landasan dan stok pusingan, RM20 bilion untuk sistem dan RM12 bilion untuk pemilikan tanah, yang jumlah keseluruhannya adalah RM72 bilion.
Bekas presiden BN dan Umno itu juga berkata, angka RM100 bilion tidak pernah disebut dan "angka sebenar hanya akan diketahui selepas tender".
Pada April dilaporkan bahawa projek HSR sejauh 350 kilometer itu akan menelan kos antara RM50 bilion hingga RM60 bilion.
Skop kerja untuk Rakan Penyampaian Projek dianggarkan sebanyak RM30-RM35 bilion manakala nilai untuk skop pekerjaan MRCB-Garuda dianggarkan sebanyak RM20-RM23 bilion.
Bahagian YTL-TH Properties dianggarkan sekitar RM10-RM12 bilion
Projek HSR diuruskan oleh MyHSR Corp Sdn Bhd dan merupakan usaha sama oleh Malaysian Resources Corporation Bhd, Gamuda Bhd, Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd dan unit Tabung Haji, TH Properties. Projek HSR dianugerahkan pada April.
Pada Isnin perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata projek HSR akan dihentikan kerana kosnya membabitkan (RM110 bilion) tidak memberi manfaat.
Pada sidang media di kementeriannya hari ini, Lim juga berkata kerajaan akan memenuhi janji 100 hari apabila kewangan negara dalam keadaan lebih baik.
"Sebagaimana yang kita mahu melaksanakan semua 100 hari janji, kerajaan ini bertanggungjawab secara fiskal dan tidak akan mengikuti contoh kerajaan sebelum ini mengenai fiskal yang hampir pasti akan membawa negara ke arah kebankrapan," kata Lim.
"Kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan janji manifesto kami apabila situasi kewangan membenarkan," tambahnya.
Lim bagaimanapun tidak menyatakan garis masa untuk menunaikan semua janji itu.
Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah GST pada kadar sifar dan penstabilan harga RON95 dan diesel masing-masing pada harga RM2.20 dan RM2.18.
RON97 bagaimanapun akan kekal pada harga RM2.47 dari 1-6 Jun sebelum diapungkan pada 7 Jun. Harga bagi RON97 akan ditetapkan berdasarkan harga pasaran dan semakan mingguan setiap Khamis.
Antara janji manifesto yang telah dilaksanakan sekarang ialah pelaksanaan Skim Peduli Sihat untuk kumpulan B40, penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN hingga pendapatan bulanan mencecah RM4,000 dan meningkatkan gaji minimum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu