'Sekolah jangan bebankan guru dengan SKPMg2'

Kementerian Pendidikan meminta pihak sekolah supaya tidak lagi membebankan guru dengan penyediaan dokumen berkaitan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) bagi tahun 2017. Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata guru sebaliknya perlu melihat ke hadapan dengan menguruskan tugas semasa terutama yang berkaitan dengan penyampaian pendidikan berkualiti tinggi kepada murid.
Menurutnya, audit SKPMg2 yang dilaksanakan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati kekeliruan dalam kalangan pihak sekolah berlaku kerana mereka tidak jelas berkaitan dokumen yang perlu dibawa untuk diaudit.
Kementerian itu berkata bukti yang sepatutnya dibawa pihak sekolah hanyalah dokumen pengurusan sekolah sedia ada yang terpilih sahaja.
"Tidak jelas tentang bukti yang menyebabkan guru diminta menyediakan bukti baharu yang membebankan mereka, sedangkan bukti yang diaudit hanyalah dokumen pengurusan sedia ada yang disediakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa," katanya.
Baru-baru ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya membantu menyelesaikan isu SKPMg2 yang dilihat membebankan para guru.
NUTP dilaporkan menerima banyak rungutan dan aduan daripada guru-guru berkaitan isu tersebut kerana keperluan untuk menyiapkan dokumen SKPMg2 itu menyusahkan dan membuang masa mereka.
Kementerian Pendidikan berkata SKPMg2 mula dilaksanakan pada Mac 2017 sebagai instrumen penilaian kendiri sekolah yang juga menjadi panduan pengurusan sekolah merangkumi bidang kepimpinan dan pengurusan, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid serta pembelajaran dan pengajaran.
SKPMg2 dilaksanakan untuk memastikan institusi pendidikan diurus dengan sistematik agar memberi impak yang tinggi terhadap kemenjadian murid selain menjadi instrumen penilaian bagi membantu sekolah mengenalpasti kekuatan dan kelemahan untuk membuat penambahbaikan.
Berdasarkan maklum balas daripada 4,735 sekolah yang telah diaudit, kebanyakan sekolah menjadikan SKPMg2 sebagai panduan pengurusan sekolah dan bimbingan semasa sesi audit membantu meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan penilaian kendiri, kata Kementerian Pendidikan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu