DISEBABKAN 1MDB, UMNO HILANG KUASA DAN APAKAH KERANA 1MDB JUGA UMNO AKAN DIHARAMKAN?
Nasib
dan masa depan UMNO, sama ada ia mampu terus hidup atau berdepan
kemungkinan diharamkan, nampaknya semakin sukar untuk diramalkan.
Setelah
buat pertama kali ia kalah pilihanraya, cabaran berkaitan statusnya
pada masa depan rasanya lebih besar berbanding bagaimana untuk
memulihkan semula keyakinan rakyat terhadapnya.
Sebelum
ini, UMNO turut berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya
berikutan perlanggaran terhadap perlembagaannya sendiri dengan tidak
mengadakan pemilihan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Setelah
pemilihan terakhir pada 2013 dan tempoh penangguhan yang dibenarkan
hanya selama 18 bulan, tarikh akhir sepatutnya UMNO mesti mengadakan
pemilihan ialah pada April 2018 lalu.
Bagaimanapun,
atas kuasa Pendaftar Pertubuhan yang mana ketika itu BN masih menguasai
kerajaan, UMNO diberi tempoh lanjutan selama setahun lagi sehingga
April 2019.
Soalnya, daripada manakah datangnya peruntukan yang membenarkan UMNO melanjutkan tempoh pemilihannya sebanyak dua kali?
Sebaik
saja UMNO kalah pada pilihanraya 9 Mei lalu dan kemudian disusuli
dengan perletakan jawatan Najib Razak, Zahid Hamidi yang memangku
jawatan Presiden kemudiannya cepat-cepat menetapkan tarikh mesyuarat
cawangan dan bahagian bagi mengelak lebih banyak kesulitan.
Hari
ini, 30 Jun adalah tarikh UMNO mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya
bagi peringkat bahagian seluruh negara dan juga majlis tertinggi.
Daripada
satu segi, tindakan segera mengadakan pemilihan itu mungkin boleh
menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya.
Tetapi,
itu juga belum pasti kerana kerajaan sudah pun bertukar dan jawatan
Ketua Pengarah ROS serta Menteri Dalam Negeri juga ketika ini dipegang
oleh individu lain.
Dulu
Menteri Dalam Negeri adalah Zahid Hamidi, seorang pemimpin kanan UMNO
dan Ketua Pengarah ROS juga diketahui sangat condong kepada UMNO.
Jika
selepas ini, tindakan tertentu diambil terhadap UMNO kerana melanggar
perlembagaannya sendiri, asas kepada perkara itu memang tidak boleh
dinafikan dan UMNO harus menerimanya dengan redha kerana kesalahannya
sangat nyata.
Namun
demikian, belum pun dipastikan lagi sama ada tindakan akan diambil atau
tidak terhadap UMNO berikutan perlanggaran perlembagaan tersebut, parti
itu kini berdepan satu lagi masalah yang lebih besar.
Akaun
bank UMNO Pusat, beberapa UMNO negeri bersama kira-kira 900 akaun bank
yang lain, termasuk komponen BN, individu, NGO dan persatuan telah
dibekukan oleh SPRM kerana dipercayai menerima wang haram yang
bersumberkan 1MDB.
Tidak
diketahui berapa jumlah wang 1MDB yang diterima oleh UMNO, tetapi ada
laporan menyebut jumlahnya ialah kira-kira RM600 juta. Beberapa UMNO
negeri dan pemimpin UMNO juga didedahkan turut menerima wang 1MDB
daripada Najib.
Wang
haram yang diterima oleh UMNO dan pelbagai pihak lain itu adalah
dipercayai daripada ribuan juta dana 1MDB yang diselewengkan yang
kira-kira RM2,600 juta daripadanya dimasukkan ke akaun peribadi Najib.
Penyiasat
antarabangsa dan DOJ menganggarkan jumlah dana 1MDB yang dilencongkan
dengan dalang utamanya Jho Low ialah kira-kira AS4.5 bilion atau
kira-kira RM18,000 juta.
Dengan
terlibat menerima wang haram, UMNO tidak syak lagi akan berdepan
kemungkinan diharamkan kerana di seluruh dunia, termasuk Malaysia,
undang-undang berkaitan dengannya sangat ketat dari segi hukumannya.
Tidak kira sama ada individu atau parti, mereka yang terlibat dengan wang haram mesti sedia menerima hukumannya.
Tidak
pernah dalam sejarahnya selama ini, UMNO terlibat dengan aktiviti wang
haram atau diragui sumbernya. Ia hanya berlaku di era Najib yang
menubuhkan 1MDB dan keluarganya pula diketahui berkawan rapat dengan Jho
Low.
Di
zaman Najib UMNO hilang kuasa dan kerana perlakuannya berkaitan 1MDB
jugalah yang memungkinkan parti itu menjadi sebuah parti yang haram
selepas ini.
Ulasan
Catat Ulasan