Skandal 1MDB: Pas yakin pemimpin mereka bersih


JITRA - Pas yakin kepimpinan parti itu bersih dan tidak terpalit dengan dakwaan menerima wang derma daripada sumber 1MDB.
Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, sekiranya ada kalangan pemimpin Pas yang didakwa menerima wang secara haram terutama daripada dana 1MDB kerana dikaitkan dengan penyelewengan Umno, parti itu tidak akan menyokong pemimpin terlibat.
Menurutnya, sekiranya ia sekadar tuduhan atau ada pihak mahu menyiasat akaun Pas bagi membuktikan dakwaan, Pas bersedia dan ia bukan suatu masalah buat parti memberikan kerjasama.
“Saya sudah bincang dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan kanan parti mengenai tuduhan itu, secara peribadi saya berpandangan disebabkan tiada keputusan (hasil) siasatan, maka kita harus buktikan pemimpin Pas bersih dari segala tuduhan melibatkan 1MDB,” katanya, selepas merasmikan sambutan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Malaysia, hari ini.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Mohd Azam Abdul Samat.
Hashim berkata, bagaimanapun sekiranya ada individu menerima dana daripada 1MDB dan menderma kepada Pas tanpa pengetahuan parti, ia di luar kawalan.
“Kalau ada pihak mahu derma kepada Pas, kita terima dan tak pula bertanya mereka dari parti mana, sumber mana? Jika penderma itu ambil dari 1MDB dan derma pada kita, kita tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Menurutnya, Pas akui menerima sumbangan atau derma dari pelbagai pihak termasuk Umno, namun bukan dari sumber meragukan seperti didakwa.
“Memang ada kalangan pemimpin Pas terima derma daripada Umno, tetapi bukan melibatkan 1MDB. Saya sendiri terima derma daripada wakil rakyat Umno untuk bina Kompleks Pendidikan Islam di Arau. Duit itu bukan untuk sogokan politik atau diri sendiri, tetapi sebagai amal jariah” katanya.
Kelmarin, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh akaun pihak lain yang menerima wang daripada Umno, termasuk akaun Pas yang didakwa menerima RM1.5 juta daripada Umno.
Ditanya sama ada Pas ada melakukan siasatan dalaman sendiri, katanya ia tiada keperluan.
“Saya rasa tak perlu siasat. Biar mereka yang siasat. Apa perlu kita siasat sebab kita yakin kepimpinan Pas tak akan terima sesuatu yang meragukan atau sudah dipastikan haram,” katanya.
Menurutnya, gesaan Muhammad Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor bukanlah perkara baharu.
“Walaupun gesaan itu daripada anak Presiden Pas yang kami sanjungi, iman dan takwa tak boleh diwarisi. Ia bukan sesuatu yang gempar, anak ulama pun ada yang tidak warisi ilmu atau kewarakan ayah mereka,” katanya.
Mengulas kenyataan sebuah portal berita, memetik peguam kepada Abdul Hadi di London memberitahu mahkamah bahawa rakaman audio seorang Ahli Parlimen Pas yang mengakui ahli parti itu menerima wang daripada Umno adalah tulen, katanya, perkara itu hendaklah disiasat sepenuhnya.
“Saya sendiri tak pasti, siasatlah,” katanya.
Hashim turut mendedahkan dirinya pernah menolak tawaran seumpama apabila ia meragukan.
“Saya pernah ditawarkan, kita kena tengok dulu dari mana tawaran itu, kalau meragukan kita tolak,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu