SPR, SPRM, Suhakam di bawah Parlimen

Jabatan Parlimen Malaysia juga akan jadi sebuah badan bebas dan tidak lagi duduk di bawah JPM.
TIGA suruhanjaya yang selalu jadi perhatian kontroversi – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) – akan diletakkan langsung di bawah Parlimen, dalam rombakan menyeluruh struktur Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Penstrukturan semula itu adalah sebahagian daripada cadangan rasionalisasi JPM yang akan diumumkan oleh Putrajaya, selepas perbincangan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ia juga memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan dalam manifestonya.
Cadangan rombakan menyeluruh oleh JPM itu dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Negara melalui sepucuk surat balasannya kepada JPM minggu lalu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.
Di bawah struktur baru, fungsi pendakwaan Jabatan Peguam Negara akan dipindahkan ke Pejabat Pendakwa Raya Negara yang juga akan melapor terus kepada Parlimen. Jabatan Peguam Negara kekal di bawah JPM.
Jabatan Audit Negara juga akan melapor langsung kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada perdana menteri.
Jabatan Parlimen Malaysia juga akan jadi sebuah badan bebas dan tidak lagi duduk di bawah JPM, menurut surat berkenaan.
Rombakan struktur suruhanjaya-suruhanjaya itu ke bawah Parlimen dan pindaan kuasa Peguam Negara itu bagaimanapun memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan beberapa akta menyentuh badan berkenaan, kata peguam.
Selain itu, tiga suruhanjaya perkhidmatan melibatkan kakitangan awam, guru-guru dan pegawai pendidikan, dan hakim – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman – juga diletakkan di bawah Parlimen.
Surat berkenaan juga memperincikan rombakan struktur JPM, menjelang pengumuman senarai penuh barisan Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akan diumumkan pada Selasa, kata sumber kerajaan.
Rombakan JPM berkuat kuasa hari ini turut menyaksikan semua jabatan dan agensi di bawahnya sama ada dipindahkan ke kementerian lain, digabung atau dibubar, menurut surat itu.
Rombakan ini adalah lanjutan daripada keputusan awal yang diumumkan Dr Mahathir selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Putrajaya pada 23 Mei lepas.
Dalam keputusan awal itu, Jemaah Menteri bersetuju membubarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).
Pentadbiran Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas sering dikritik kerana mempunyai saiz JPM yang terlalu besar dan menelan peruntukan besar belanjawan tahunan kerajaan.
Dalam satu jawaban bertulis di Parlimen pada 2016, bekas menteri Azalina Othman Said memaklumkan Dewan Rakyat, JPM mempunyai 92 unit di bawah bidang kuasanya.
Dalam manifesto pilihan rayanya Pakatan Harapan berjanji untuk mengurangkan peruntukan kewangan kepada JPM “yang terlalu besar, sehingga memungkinkan berlakunya pelbagai salah laku di peringkat tertinggi.”
“Dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan menurunkan peruntukan JPM daripada lebih RM17 bilion sekarang kepada kurang daripada separuh, iaitu RM8 bilion sahaja,” kata manifesto itu.
Laporan media sebelum ini menyebut peruntukan belanjawannya meningkat daripada RM1.15 bilion pada 1986 kepada hampir RM2.4 bilion pada 1996, dan mencecah RM5.84 bilion pada 2006.
Peruntukan itu naik lagi sehingga RM8.9 bilion pada 2008, tahun akhir pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, sebelum melepasi batas RM10 bilion pada tahun berikutnya di bawah pentadbiran Najib Razak.
Pada penghujung pentadbiran Najib, peruntukan untuk JPM melebih RM20 bilion dan memakan sehingga antara 6 hingga 7 peratus peruntukan perbelanjaan kerajaan.
Dalam Bajet 2018, JPM mendapat peruntukan sebanyak RM17.4 bilion, meningkat 9.3 peratus berbanding belanjawan tahun sebelumnya. Dalam Bajet 2017, peruntukan JPM dipotong RM4.4 bilion, pemotongan yang pertama sejak 2012.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu