Apa salahnya saya pertahankan raja, kata Anwar

Ketua umum PKR itu menjawab kritikan beliau memihak kepada kerabat diraja.

Anwar Ibrahim berkata, tidak salah beliau pro raja.
KLANG: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kempen pertama untuk membantu calon parti itu di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis berkata, tidak salah untuk beliau menjadi alat mempertahankan institusi diraja.
“Kita anak Melayu dan Malaysia. Ada (orang) kata saya pro raja-raja, saya tidak ada masalah,” katanya dalam ceramah khas yang turut dihadiri Presiden Amanah dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu sempena kempen calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni di Padang Rakyat Jalan Kebun, malam tadi.
Anwar dikritik sesetengah pihak atas pertemuannya dengan beberapa raja Melayu sejurus mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, tetapi rakyat masih mempunyai kebebasan mempelajari bahasa lain.
“Kita tidak halang penguasaan bahasa lain, walaupun kita memartabatkan bahasa kebangsaan.”
Ia dipercayai adalah maklum balas terhadap bantahan dalam usaha kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Anwar berkata, Pakatan Harapan sentiasa berpendirian tegas dalam isu itu dan akan terus mempertahankan hak orang Melayu serta Islam.
PRK Sungai Kandis ialah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Zawawi bakal berdepan tentangan calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K Murthy pada Sabtu ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu