BN dan PAS tak jujur kempen di Sg Kandis, kata Khir Toyo


Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata BN dan PAS tidak jujur dalam kempen mereka pada pilihan raya kecil ini, lapor media tempatan.
Hal tersebut menyebabkan suasana prejudis antara penyokong parti masing-masing yang bakal diterjemahkan kepada undi untuk Pakatan Harapan (HARAPAN), jelas Khir dipetik Sinar Harian.
"BN dan Pas tidak jujur dalam kempen di sini, menyebabkan suasana prejudis antara pendukung parti masing-masing dan ini akan diterjemahkan undi kepada calon Pakatan Harapan.
"BN dan Pas masih gagal membentuk satu blok pembangkang yang mampu menjadi alternatif kepada HARAPAN," katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor Sinar Harian.
Bekas pemimpin Umno dan bekas ADUN Sungai Panjang ini juga berpendapat peluang BN untuk menang dalam PRK Sungai Kandis amat tipis.
"Isu-isu yang diketengahkan oleh BN masih tidak dapat mengubah pendirian pengundi di kawasan ini.
"Pengundi masih lagi merasakan kerajaan HARAPAN mampu mengubah situasi tekanan hidup yang dihadapi hari ini kepada yang lebih baik sedikit masa lagi.
"Selagi Umno merasakan mereka boleh menang tanpa bantuan parti komponen lain dalam BN dan PAS masih tidak berubah saya tidak nampak bagaimana Umno boleh menang," katanya, petik laporan itu lagi.
Sebelum ini, beberapa pemimpin kanan PAS menyeru untuk menyokong calon Umno, Datuk Lokman Adam yang bakal ditentang calon PKR yang juga pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, selain calon bebas, K Murthy.
PRK Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14 berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.
Pada PRU14, Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN itu untuk penggal ketiga, selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu