Kerajaan PH ulangi komitmen perkasa Islam ikut Al-Quran dan hadis sahih

Komitmen tersebut dinyatakan Perdana Menteri semasa pertemuan khas beliau bersama tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan Islam di pejabatnya di sini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

Mujahid berkata Mahathir dalam pertemuan bersama 37 tokoh ilmuan Islam turut berkongsi aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia model negara Islam kontemporari terbaik di dunia.
"Dunia sering mengaitkan Islam dengan kekejaman, peperangan dan kelemahan dalam ekonomi.

"Dalam soal ini Tun Mahathir mahu para ulama dan cendekiawan Islam menggunakan ruang terbuka di bawah pentadbiran Pakatan Harapan untuk memaparkan Islam yang lebih berbelas kasihan," katanya.

Antara yang hadir pada pertemuan tersebut Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, Pensyarah Pusat Islam di Fakulti Teologi, Oxford University, United Kingdom, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ketika pertemuan tersebut katanya Perdana Menteri turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara antaranya bagaimana memperkasa institusi Islam supaya tidak hanya membicarakan soal ibadat sebaliknya turut menyentuh bidang sains dan ekonomi.

Beliau berkata Mahathir juga mahu ekstremis agama terutamanya dalam isu kafir mengkafir sesama Islam diberi tumpuan selain komitmen kerajaan untuk membanteras fahaman ekstremis.

Dalam pada itu, Mujahid berkata sebagai kesinambungan pertemuan tersebut pihaknya akan mengadakan pertemuan susulan dalam kelompok lebih kecil sekali sebulan.

Beliau berkata perbincangan itu nanti akan lebih berfokus tentang isu-isu tertentu berbanding pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini yang menyentuh mengenai pemerkasaan Islam dalam konteks yang lebih luas.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar