Jho Low cuba sekat buku Rewcastle-Brown mengenai skandal 1MDB
"Surat berkenaan mengancam penerbit dengan 'ganti rugi besar' dengan asas firma undang-undang itu mengandaikan buku itu akan mengulangi apa yang disebut sebagai tuduhan memfitnah terhadap Low yang dibuat oleh (laman web) Sarawak Report," tulis Sarawak Report hari ini.
Menurut laman web Schillings, firma itu mengkhususkan untuk menyelesaikan kes-kes membabitkan "masalah reputasi" atau ancaman privasi.
"Kami adalah satu-satunya perniagaan di dunia yang mengatur - di bawah satu bumbung- pakar risikan, penyiasat, pakar siber, perunding risiko, peguam dan pegawai tinggi dari tentera, perbankan dan kerajaan," kata firma tersebut.
Sarawak Report mengatakan surat Schillings mendakwa tidak ada sebarang komen yang harus diterbitkan berhubung penglibatan Low dalam 1MDB sebelum prosiding sivil terhadap syarikat itu dijalankan di Amerika Syarikat.
Laman web itu juga mengatakan surat Schillings kepada penerbit buku itu juga menyimpulkan bahawa laman web itu akan mengulangi tuduhan yang kini beredar di akhbar dan media sosial, yang mereka katakan "sebahagian daripada kempen bermotivasi politik oleh kerajaan Malaysia sekarang".
"Sarawak Report yakin bahawa tuduhan kami didokumenkan, terpeinci dan disahkan.
"Tambahan pula, Low tidak pernah menghubungi Sarawak Report untuk mencabar apa yang ditulis oleh laman ini sejak ia mula menyiarkan berita itu Februari 2015, dengan memperincikan bagaimana AS$700 juta, dikatakan dibayar oleh 1MDB dalam satu usahasama dengan syarikat PetroSaudi, sebenarnya melencong ke dalam akaun syarikat Good Star di Seychelles, yang dimiliki oleh Jho Taek Low," kata laman web itu.
Di sebalik ancaman itu, Sarawak Report mengatakan buku itu - bertajuk The Sarawak Report - akan dihantar kepada mereka yang telah membuat pesanan dan akan dijual secara dalam talian.
"Sarawak Report" adalah salah satu daripada dua buah buku yang akan diterbitkan mengenai Low dan 1MDB, selain buku yang ditulis oleh penulis dari Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright .
Ulasan
Catat Ulasan