Mantera merdeka untuk anak semua bangsa

"Dengan nama Allah Yang Maha Murah Lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri-negeri Melayu dengan ini memasyhur dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai tiga puluh satu haribulan Ogos tahun satu ribu sembilan ratus lima puluh tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya negeri-negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahuwataala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa."
Itu kata-kata Bapa Kemerdekaan negara pada 1957 di Kuala Lumpur. Kata hampir serupa juga diungkapkan ketika pembentukan Malaysia antara Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura pada 1963.
Pada bahagian akhir ayat pengisytiharan kemerdekaan itu cukup keramat kepada negara ini sebenarnya. Berkemungkinan juga ia seakan satu sumpahan pada Malaysia.
Selepas Malaysia dibentuk, rusuhan kaum meletus di Singapura pada 1964. Wujud kebimbangan ia akan merebak ke bahagian lain di Persekutuan. Permainan politik antara Umno dan PAP didakwa sebagai antara punca.
Bertitik tolak daripada peristiwa itu, Singapura akhirnya ditendang keluar dari Malaysia menerusi sidang Parlimen pada 1965.
Dalam sidang parlimen itu, pengasas Singapura, Lee Kuan Yew mempertahankan tanah airnya, namun kekal tercampak.
Alasan diambil berdasarkan ungkapan keramat Tunku Abdul Rahman itu sendiri iaitu 'sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.'
Atas alasan sama juga Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan selepas berlakunya rusuhan kaum 1969 di Kuala Lumpur.
'Sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa' terus-terusan menjadi mantera ajaib buat Umno dan Barisan Nasional mencengkam pentadbiran negara selama enam dekad.
Hasilnya, komunis dan golongan kiri diperangi habis-habisan menerusi insurgensi sehingga golongan terbabit meletakkan senjata dalam perjanjian Hatyai.
Agenda DEB
Pada masa sama, ekonomi disusun semula mengikut agenda DEB yang menyaksikan pelbagai agensi Bumiputera seperti MARA, FELDA, Tabung Haji dan lain-lain lahir.
Kemudian, Dasar Pandang Ke Timur, Buy British Last, dasar penswastaan dan industri negara dan dasar meritokrasi pendidikan dilaksanakan.
Asasnya adalah mantera ajaib Tunku Abdul Rahman. Mantera inilah yang diulang-ulang kerajaan, parti politik dan gerakan badan bukan kerajaan bagi mengisi kemerdekaan negara.
Salah atau tidak kaedah mengisi kemerdekaan itu sering diperdebatkan, namun justifikasinya kekal bersandarkan kepada mantera pengisytiharan kemerdekaan oleh anak raja Kedah itu.
Umno BN tumbang
Dan terbaru ialah Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan mantera keramat pengisytiharan kemerdekaan itu menjadi propaganda paling efektif bagi Pakatan Harapan.
Umno dan Barisan Nasional tumbang selepas pelbagai laporan dan dakwaan negatif timbul berkaitan urus tadbir yang lemah, ketirisan, rasuah, penyelewengan dan pecah amanah.
Semua laporan dan dakwaan terbabit menaikkan jiwa rakyat untuk mengubah kerajaan. Sehubungan itu, mantera 'menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa' dimainkan semaksima mungkin.
Kini kerajaan Pakatan Harapan mengemudi pentadbiran Malaysia. Bagaimana dan apa kaedah pengemudiannya masih lagi awal untuk dinilai.
Yang pasti mantera ajaib Tunku Abdul Rahman ketika mengisytiharkan kemerdekaan akan kekal menyelubungi 'di antara segala bangsa' di Malaysia bumi bertuah ini. Wallahualam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu