Hadi sebok soal Anwar: Kenapa tak bertanding di kawasan majoriti Muslim?
Beliau berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson, yang secara rasminya bermula 29 September lalu selepas penamaan calon.
Kawasan Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India.
Hadi juga menyifatkan Anwar sebagai seorang yang "tidak konsisten" iaitu dengan menunjukkan sikap berlainan di depan kelompok yang berbeza.
Sebagai contoh, beliau berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika beliau berada di masjid, manakala boleh pula menari ketika bersama masyarakat India.
"Kita ada budaya sendiri. Masyarakat Tamil akan menghormati kita jika kita berpendirian," katanya lagi.
Hadi juga mengkritik PRK Port Dickson itu sendiri, yang diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.
Katanya, ia adalah satu pilihan raya yang "luar biasa" kerana diadakan untuk seorang yang "mahu jadi perdana menteri Malaysia".
"Wajarkah hanya pengundi Port Dickson yang boleh memilih bakal perdana menteri yang akan memimpin seluruh negara?"
Ia berdasarkan perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan bahawa Anwar akan mengambil alih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Ulasan
Catat Ulasan